Perang Melaka 1511: Berapa Ramai Tentera Portugis?

Telah tercatat di dalam sejarah bahawa pada 15 Ogos 1511 Masihi bersamaan 20 Jamadil Awal 917 Hijrah, hari Jumaat, runtuhnya Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka di tangan Portugis. Kejatuhan sebuah kerajaan Melayu Islam yang kuat ini merupakan titik hitam dalam sejarah bangsa Melayu  yang mana setelah kejatuhan ini bermulanya penjajahan bangsa eropah sedikit demi sedikit hingga akhirnya Tanah Melayu berjaya dibebaskan sepenuhnya pada 31 Ogos 1957, iaitu setelah hampir 500 tahun runtuhnya Kota Melaka.

Yang sungguh memilukan hati ialah maruah orang Melayu ibarat diinjak-injak oleh bangsa Portugis apabila pihak Portugis berjaya menawan kota Melaka yang menjadi simbol keagungan bangsa Melayu dengan dakwaan hanya menggunakan sejumlah tentera yang kecil. Dikatakan bahawa angkatan Portugis hanyalah seribu orang iaitu 800 orang Portugis dan 200 orang Malabar dengan datang menaiki kapal perang sebanyak 18 buah kapal sahaja. Seperti yang dinyatakan oleh Alfonso De Albulquerque dan anaknya:

“Apabila Albuquerque menerima surat daripada Araujo yang memberitahu tentang keadaan di Melaka dan kekuatan pertahanannya, beliau mengambil keputusan untuk pergi ke sana sendiri dan jika perlu, merampas Bandar itu. Pada bulan April 1511, beliau belayar dari Goa dengan angkatan lapan belas kapal dan satu angkatan kecil yang mengandungi lapan ratus askar Portugis dan dua ratus Malabar.” (Teks-teks Pilihan Daripada Afonso de Albuquerque Dan Anaknya)

Sedangkan kekuatan tentera di pihak Sultan Melaka di dalam Kota Melaka pula 20 kali ganda lebih besar iaitu seramai 20,000 orang tentera yang terdiri daripada rakyat tempatan dan warga asing yang beragama Islam. Hal ini dinyatakan oleh pihak Portugis sendiri: “Gabenor meminta bantuan orang Cina dalam menyediakan kepadanya dua buah jong yang beliau menjangkakan bahawa beliau akan memerlukannya untuk serangan ke atas kota, yang dipertahankan oleh dua puluh ribu orang tentera. Sepuluh ribu daripada mereka adalah tentera biasa, yang merupakan pahlawan yang handal dan lengkap bersenjata, begitu juga dengan orang pejuang-pejuang arab yang bersenjatakan pedang bengkok, pedang-pedang dan perisai-perisai yang dibekalkan kepada mereka oleh orang-orang Gujerat. Selain daripada dua puluh ribu orang tentera tersebut, yang merupakan penduduk tempatan, terdapat ramai tentera Jawa, Turki, Rom yang berbaju besi, dan orang-orang Parsi yang merupakan pemanah yang mahir. Sultan juga mempunyai dua puluh gajah perang. Tidak hairanlah mengapa Sultan tidak mempunyai sebarang keraguan untuk membuat keputusan ke atas bala tenteranya bagi menghadapi mana-mana peperangan.” 

(Catatan Ferneo Lopes De Castanheda dalam History of The Exploration & Conquest of The Indies By The Portuguese)

Tidak mungkin Alfonso de Albuquerque segila itu apabila beliau mengetahui jumlah tentera Melaka yang agak besar, beliau hanya menyiapkan tentera seramai 5% sahaja daripada kekuatan tentera Melaka. Justeru, jumlah tentera yang dinyatakan oleh pihak Portugis di dalam catatan mereka sungguh meragukan. Agak menghairankan, tidak ada sejarawan yang mempersoalkan dongengan tersebut melainkan hanya menerima sahaja. Kuat sangatkah tentera Portugis hingga mereka melancarkan tentera yang skala kecil dalam menghadapi tentera yang besar? Jika mahu dikatakan kerana tentera Portugis mempunyai senjata api, di pihak tentera Melaka juga mempunyai senjata api sama seperti mereka bahkan lebih banyak daripada mereka. Hal ini dijelaskan ketika pihak Portugis membongkar setor senjata setelah mereka berjaya menawan kota Melaka.

“Tiga ribu buah meriam telah dirampas, dua ribu daripadanya diperbuat daripada gangsa dan sebuah yang besar yang dikirimkan Raja Culcut kepada Sultan Melaka. Yang lainnya diperbuat besi dengan kaliber yang sama dengan bercos [1]. Kesemua senapang ini dilengkapi dengan roda meriam dan dalam keadaan apa sekalipun mutunya lebih rendah daripada senjata-senjata buatan Portugis. Terdapat senapang lantak, sumpitan racun, panah dan anak panah, baju besi, tombak dan senjata-senjata lain yang berbagai jenis. Jumlah sebenar senjata-senjata adalah menghairankan iaitu agak jauh daripada jumlah barang dagangan yang bermacam-macam jenis. Afonso de Albuquerque memerintahkan barang-barang ini, bersama-sama dengan banyak lagi yang saya tidak akan membosankan pembaca dengan menghitung satu persatu, akan dibahagi-bahagikan di kalangan para kapten dan anak-anak kapal………

…….. Pembaca tidak perlu terkejut apabila saya menyatakan bahawa tiga ribu buah meriam telah diambil di Melaka, kerana Rui de Araujo dan Nina Chatu memberitahu Afonso de Albuquerque bahawa terdapat lapan ribu buah di Bandar tersebut. ada dua alasan untuk mempercayai perkara ini. Pertama ialah Melaka mempunyai tembaga merah dan bijih timah yang banyak dan oleh kerana itu pembuat senapang mereka adalah setanding dengan pembuat senapang Jerman. Alasan yang lain ialah Bandar tersebut menganjurkan sebuah gabungan di sepanjang pantai dan sewaktu Afonso de Albuquerque mendarat, mereka membedil beliau dari semua arah.”

(Teks-teks PIlihan daripada Afonso de Albuquerque dan Anaknya)

Malacca Musket ataupun dipanggil oleh orang Melayu sebagai Istinggar. Imej dari The Vocket.

Memang tidak dinafikan antara faktor kekalahan tentera Melayu Melaka adalah disebabkan pengkhianatan pihak dalaman iaitu seperti seorang pembesar Melaka bernama Utimutaraja dan beberapa warga asing seperti Nina Chatu dan pedagang-pedagang China, namun tidak logik Alfonso sebagai seorang panglima perang terfikirkan untuk membuat serangan ke atas sebuah negara yang lengkap dengan sistem pertahanan dan tentera yang ramai dengan membawa sejumlah tentera yang sangat kecil. Kenyataan tersebut pastilah ada sesuatu yang janggal.

Di dalam Sulalatus Salatin, dinyatakan bahawa bilangan kapal perang Portugis yang datang menyerang adalah sebanyak 40 buah kapal. Tun Seri Lanang menukilkan: “Alkisah maka tersebutlah perkataan Alfonso d’Albuquerque, setelah ia turun daripada wizurai, maka ia pun naik ke Portugal mengadap Raja Portugal, minta armada. Maka diberi oleh Raja Portugal empat buah kapal yang besar, dan lima buah ghali panjang, maka Alfonso d’Albuquerque pun turun ke Goa; berlengkap pula di Goa tiga buah kapal, delapan ghalias, empat buah ghali panjang, dan enam belas buah fusta, menjadi empat puluh tiga buah semuanya, maka pergilah ia. Setelah datang ke Melaka, maka orang Melaka pun gemparlah; “bahawa Peringgi datang menyerang kita, tujuh buah kapal, delapan buah ghalias, Sembilan buah ghali panjang, enam belas buah fusta. [2]

Jika benar seperti yang dicatatkan oleh orang Melayu sendiri, melalui ingatan mereka yang diriwayatkan daripada generasi ke generasi sehingga dicatatkan oleh Tun Seri Lanang di dalam Sulalatus Salatin, bahawa 40 atau 43 buah kapal perang telah digunakan oleh Portugis yang menyerang mereka, hal tersebut lebih dapat diterima akal dari sekadar 18 buah kapal sahaja. Kita andaikan, jika 18 Buah kapal memuatkan 1000 orang tentera Portugis, bermaksud jika sebuah kapal boleh memuatkan 55 ke 56 orang. Oleh itu jika 40 ke 43 buah kapal seperti yang dinyatakan di dalam Sulalatus Salatin, seramai 2,222 ke 2,386 orang tentera Portugis dapat dibawa untuk menyerang Melaka. Jumlah tersebut walaupun masih dianggap sedikit untuk menyerang tentera Melaka yang berjumlah 20 ribu orang, namun sekurang-kurangnya tidaklah sebagaimana dakwaan Alfonso bahawa mereka menyerang Melaka dengan hanya 18 buah kapal perang dan 1000 orang tentera sahaja!

Ironinya, Tome Pires, seorang penulis dan bendahari Diraja yang ditugaskan oleh Raja Manuel I untuk menjaga harta-harta perdagangan Portugis di Melaka dan Jawa pada tahun 1512 hingga 1515 telah menulis jumlah sebenar tentera yang dihantar untuk menawan Kota Melaka, sangat berlainan jumlahnya berbanding dengan dakwaan yang cuba dibangga-banggakan oleh Alfonso de Albuquerque dan anaknya. Tome Pires menulis:

“Alfonso de Albulquerque adalah Kapten Mayor dan Gabenor India, beliau tiba di Melaka pada awal Julai tahun 1511 dengan 15 buah kapal, sama ada yang berukuran besar mahupun kecil dengan membawa 16,000orang askar. Pada waktu itu, Melaka khabarnya memiliki 100, 000 orang tentera pejuang yang tersebar dari Kuala Linggi hingga pedalaman dan Kesang, yang merupakan sempadan Kota Melaka. Orang-orang Melayu telah membina tembok yang kuat. Mereka juga menempatkan banyak lancang (kapal) di laut. Semuanya siap untuk berperang. Pada saat itu di Melaka, terdapat seorang kapten yang berasal dari Gujerat. Dia ditugaskan untuk mempersiapkan angkatan perang (Melaka). Nampaknya, dia sendiri sahaja cukup kuat untuk mengatasi kapal-kapal dan tentera kita (Portugis).” 

(Catatan Tome Pires dalam Suma Oriental)

Tandaan: 

[1]    Bercos adalah sejenis senapang kecil yang diperbuat daripada gangsa atau ditempa, biasanya dipasang di atas serampang seperti sebuah senapang putar, tetapi juga di atas topangan untuk digunakan seperti meriamyang dibawa oleh kereta kuda, dan boleh menembakkan peluru seberat tiga paun.

[2]     Ghali, ghalias, dan fusta adalah jenis-jenis kapal perang portugis zaman dahulu.

__________________________________________________________________

Sumber: 

1)Albuquerque Caeser Timur, terbitan Universiti Malaya, 1995

2)Teknologi Kesultanan Melaka, terbitan Maktab Penyelidikan Tamadun Islam Nusantara, 2017

3)Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, A. Samad Ahmad (Penyelenggara), terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka,Cetakan Ke-18, 2015

#TMK

#Sejarah

All Right Reserved by The Melaka Kini  | Copyright @ 2019

Để lại một bình luận

Email của bạn sẽ không được hiển thị công khai. Các trường bắt buộc được đánh dấu *