Pernah gagal STAM, Kini bergelar ‘Mumtaz Sufi’

DUA bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (SMA JAIM) Al Asyraf mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2018 yang diumumkan hari ini, apabila memperoleh Mumtaz bagi semua subjek.

Mereka ialah Qamarul Ikmal Sahrudin dan Wan Muhammad Izzat W Aminordin, masing-masing berusia 19 tahun dan memperoleh Mumtaz bagi 10 subjek.

Qamarul Ikmal berkata, penat lelah dan kepayahan berulang-alik dari rumah di Solok Gaung, Ayer Molek ke sekolah di Pulau Sebang, Alor Gajah, lebih 100 kilometer (km) sehari selama hampir 10 bulan akhirnya berbaloi apabila berjaya memperoleh keputusan cemerlang.

“Demi minat mendalam dalam Bahasa Arab, saya menunggang motosikal ke sekolah selama hampir sejam setiap hari meskipun gagal mendapatkan rayuan ke asrama.

“Bagi saya, bila seseorang mahu berjaya tiada cara lain kecuali berusaha. Jadi, saya korbankan 10 bulan untuk beri terbaik kepada ibu dan ayah saya,” katanya ketika ditemui bersama ibu bapanya, Sharudin Hashim, 46, dan Tinah Abdul, 47, hari ini.

Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, dia pernah terfikir untuk menamatkan pengajian kerana terlalu penat berulang-alik, namun kata semangat daripada ibu mendorongnya untuk tekad meneruskan pengajian.

“Saya pernah gagal mendapatkan tempat di peringkat STAM, namun berusaha demi mencapai impian menyambung pengajian dalam bidang Usuludin di Mesir.

“Malah, sepanjang berulang-alik itu, saya pernah dua kali terjatuh dari motosikal, namun bernasib baik kerana tidak cedera serius,” katanya.

Wan Muhammad Izzat pula berkata, amalan pemakanan sihat dan menjaga hubungan dengan Tuhan antara faktor dia mampu mencapai kejayaan.

“Selain kurangkan makan makanan segera seperti mi segera dan tidak menyentuh minuman bergas, saya kurangkan bermain dan istiqamah dalam mengamalkan solat dhuha dan tahajud,” katanya yang ditemani ibu bapanya, Wan Aminordin Wan Kamaruddin, 49, dan Rohana Junoh, 48.

Kedua-duanya antara 125 bekas pelajar layak menerima sijil pada program pengumuman keputusan STAM 2018 oleh Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Datuk Abu Bakar Sahari, di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sharifah Rodziah, Melaka.

Hadir sama, Pengarah JAIM, Md Azhan Samat.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, pencapaian STAM bagi tahun lalu adalah amat baik apabila 20 orang memperoleh sijil Mumtaz, berbanding tujuh orang pada tahun sebelumnya.

“Gred purata sekolah (GPS) negeri juga meningkat dari 3.1 pada 2017 kepada 2.83 tahun 2018,” katanya.

Kredit- BeritaHarian.com.my

Để lại một bình luận

Email của bạn sẽ không được hiển thị công khai. Các trường bắt buộc được đánh dấu *