DUA bekas kapten pasukan kebangsaan, Mohd Shukor Adan dan Safiq Rahim masing-masing menyatakan minat menyarung jersi Melaka United (MU), musim depan.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Farhan Ibrahim sebentar tadi.
Katanya, pemain berasal dari Melaka dan Kuala Selangor itu telah menyuarakan hasrat mereka beberapa hari lalu bagi membantu memperkasakan jentera Zainal Abidin Hassan menjelang saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2019.
“Mereka ada menyatakan minat, sama ada keduanya akan diambil Melaka terserah pada Zainal.
“Namun, ada juga cadangan dari bahagian pengurusan untuk mendapatkan khidmat mereka berdasarkan kepakaran dan pengalaman dimiliki,” katanya.
Pada 2 November lalu, Safiq meninggalkan kelab Johor Darul Ta’zim dan perkara itu diumumkan sendiri oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi satu kenyataan di laman Facebook rasmi kelab, Johor Southern Tigers.
Safiq yang menyertai JDT pada 2013 kini masih belum membuat keputusan terhadap kelab yang mahu diwakili
Manakala, Mohd Shukor yang pernah meraih pelbagai kejayaan bersama Negeri Sembilan, Selangor, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan FELDA itu bagaimanapun belum menikmati kejayaan membanggakan bersama skuad kelahirannya.
Dia hanya sempat mewakili skuad belia dan presiden Melaka sebelum berkelana ke pasukan lain dalam Liga Malaysia.
Status bekas pemain itu masih belum diketahui, dan beberapa kelab termasuk Selangor ada menyatakan minat memancing pemain berkenaan.
Sumber- Melakakini.my