Misteri Dan Keunikan Perigi Hang Tuah

Kampung Duyong, Melaka, dikatakan menyimpan pelbagai misteri mengenai asal usul namanya dan dikatakan wujud sejak lebih 300 tahun lalu.

 

 

Konon ceritanya, penduduk asal kampung ini pernah melihat ikan duyong terdampar di muara sungai, justeru Kampung Duyong memperoleh namanya daripada peristiwa itu.

Kini, Kampung Duyong dibangunkan menjadi Perkampungan Hang Tuah seluas 24 hektar yang dilihat sebagai destinasi pelancongan popular.

Sebagai nilai tambah, Perigi Hang Tuah yang terletak di kampung ini dilihat mampu menggamit kehadiran pelancong.

Kewujudan Perigi Hang Tuah di Kampung Duyong menimbulkan pelbagai persoalan, bagaimana ia dibina dan apakah tujuan pembinaannya.

Ada pendapat menyatakan, perigi itu terbentuk berikutan hentakan kaki Hang Tuah yang ingin bersolat di kampung itu yang dengan beberapa hentakan kakinya, terkeluar banyak mata air yang jernih dan bersih di kawasan itu.

Kesan hentakan menjadi semakin besar dan perigi berkenaan membentuk bujur sirih, seolah-olah seperti tapak kaki kanan Hang Tuah.

Terus jadi perhatian pelancong

Ada juga yang menceritakan bahawa Hang Tuah mula menggali perigi itu selepas dijatuhi hukuman bunuh oleh Sultan Melaka.

Mengikut cerita orang kampung, Hang Tuah disembunyikan di atas bukit berhampiran lokasi telaga ini.

Ketika itu, perigi ini digali oleh Hang Tuah untuk kegunaan sehariannya.

Hari ini, air dari telaga berkenaan yang jernih dan bersih dianggap suci hingga mampu menyembuhkan pelbagai penyakit serta digunakan untuk membayar niat.

Walau apapun versi cerita yang disampaikan mengenai keistimewaan Perigi Hang Tuah, destinasi berkenaan terus menjadi perhatian pengunjung, terutama pelancong asing yang begitu teruja mendalami sejarah dan asal usul Laksamana Melayu terbilang itu.

Perigi warisan di Melaka.

 

1. Perigi Hang Tuah

Antara tarikan utama yang terdapat di Perkampungan Hang Tuah di Kampung Duyong, Melaka. Hang Tuah dilaporkan membesar di Kampung Sungai Duyong bersama empat orang sahabatnya – Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu.

Pada asalnya perigi ini agak kecil, tetapi lama kelamaan menjadi besar dan dalam.

Namun, berdasarkan fakta tidak rasmi, kedalaman Perigi Hang Tuah dikatakan 1.8 meter (m). Perigi Hang Tuah dikatakan tidak pernah kering walaupun Melaka pernah dilanda musim kemarau yang panjang.

Perigi Hang Tuah yang kerap menjadi tumpuan pelancong diwartakan sebagai tapak warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005. Sistem Kedudukan Sejagat atau GPS telaga ini ialah 2.200163,102.296952.

 

2. Perigi Hang Li Poh

Dikenali juga Perigi Raja, dibina pada tahun 1459 atas arahan Sultan Mansur Shah untuk permaisuri baginda, seorang puteri raja dari China iaitu Puteri Hang Li Poh.

Perigi ini dikatakan tidak pernah kering dan menjadi punca air ketika musim kemarau.

Pihak Belanda membina tembok di sekelilingnya pada tahun 1677 untuk memeliharanya sebagai perigi permintaan.

Telaga warisan sejarah ini terletak di Jalan Puteri Hang Li Poh.

 

3. Perigi Air Buak

Terletak di Kampung Baru Bukit Beruang sejak zaman pemerintahan tentera British, dikatakan berusia hampir 100 tahun.

Berdasarkan cerita orang tua kampung berkenaan, Perigi Air Buak bermula apabila air dari bawah tanah tiba-tiba membuak dan sejak itu beberapa penduduk berdekatan membina perigi baharu bagi kegunaan mereka di situ.

Air daripada telaga itu dikatakan tidak pernah kering walaupun pada musim kemarau.

Berdasarkan cerita orang lama kampung ini, perigi itu digali oleh askar kerahan British sekitar tahun 1900-an.

Keistimewaan lain sumur itu apabila airnya yang jernih keluar menerusi mata air dalam tanah dan bunyinya boleh kedengaran dengan jelas pada waktu malam.

 

4. Perigi Portugis

Kedudukan perigi ini terletak berhampiran Makam Tun Teja di Kampung Pengkalan Samak.

Lokasi Perigi Portugis hanya lima minit pemanduan dari pekan Merlimau.

Perigi ini digali oleh tentera Portugis ketika pemerintahan di Melaka selama 130 tahun.

Semoga memberi manfaat.

 

 

 

#TMK

#Sejarah

 

All Right Reserved by The Melaka Kini  | Copyright @ 2019

Để lại một bình luận

Email của bạn sẽ không được hiển thị công khai. Các trường bắt buộc được đánh dấu *