60 unit rumah untuk nelayan hanya berharga RM45 ribu sahaja

AYER KEROH 11 April – Nelayan di kawasan Kuala Sungai Baru berpeluang memiliki rumah dengan harga RM45,000 seunit menerusi projek perumahan seluas 13.85 ekar dibangunkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Projek itu menelan kos lebih RM7 juta itu dijangka siap dibina tahun ini dengan keseluruhan 60 unit rumah berkembar untuk didiami.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, harga RM45,000 bagi harga seunit rumah projek itu telah dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) selepas dicadangkan Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani, Norhizam Hassan Baktee.

Katanya, MOA telah memperuntukkan RM6.04 juta, manakala kerajaan negeri pula telah membelanjakan RM1.6 juta sepanjang tempoh pembinaan perumahan yang turut mengalami fasa terbengkalai.

“Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri menguruskan kaedah pemilikan yang dirasakan sesuai kepada calon untuk memilikinya.

“Termasuk membantu cara pembiayaan perumahan dengan kerjasama institusi perbankan seperti Agro Bank.

“Projek rumah nelayan itu nanti akan turut dilengkapi balai raya, surau, tadika, taman permainan dan gelanggang futsal yang dijangka siap tahun ini,” katanya ketika ditemui di Seri Negeri sebentar tadi.

Projek berkenaan telah dilaksanakan awal tahun 2014 semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan pernah dimaklumkan selesai 65 peratus sebelum Adly Zahari memutuskan untuk menyambung pembangunan semula projek terbabit.

Sumber – Melaka kini

Trả lời

Email của bạn sẽ không được hiển thị công khai. Các trường bắt buộc được đánh dấu *