PEMBENTUKAN Pemerintahan Islam telah berlaku secara beransur-ansur di Nusantara, bermula dari tahap penyebaran Islam kepada tahap penerapan Syariah, sehingga akhirnya mewujudkan sebuah Kerajaan dan Pemerintahan Islam. Berbanding dengan Samudera-Pasai yang menjadi pusat perkembangan dakwah Islam, kemunculan Melaka dengan Sistem Pemerintahan Islam adalah lebih menonjol. Walaupun secara relatif, kewujudan Melaka adalah sezaman dengan Samudera-Pasai, tetapi kerana Samudera-Pasai mewarisi Perlak yang wujud sejak 840M, maka perkembangan Sistem Pemerintahan Islam di Melaka lebih mendapat perhatian. Latar belakang Kerajaan-kerajaan Islam di Utara Sumatera itu lebih dipengaruhi oleh tradisi Arab-Parsi-India, kerana Raja-raja mereka dikaitkan dengan negara-negara tersebut, sedangkan Melaka benar-benar mewarisi dan mewakili peradaban Melayu Islam. Kewujudan Melaka yang merupakan lanjutan Kerajaan Sriwijaya, telah memperlihatkan percantuman Sistem Pemerintahan Islam dengan tradisi Kekerajaanan Melayu di Nusantara.
Menurut Auni Abdullah, Kerajaan Islam di Melaka telah menyambung tradisi sebelumnya (Perlak dan Samudera-Pasai) dengan mewujudkan kesinambungan Pemerintahan Islam dan pelaksanaan Syariat. Pemerintahan Islam di Melaka lebih bertenaga, perkasa dan berwibawa berbanding Kerajaan-kerajaan Islam di Utara Sumatera, di mana Melaka bukan sahaja menjadi pusat peradaban Islam, tetapi sebuah kuasa politik yang mampu membentuk empayar dan menjadi tumpuan pedagang dari seluruh dunia. Hakikat kemajuan yang dicapai oleh Melaka ini adalah berpunca daripada Sistem Pentadbiran dan Pemerintahan Islam yang dipraktiskan. Dengan Sistem Pemerintahan Islam yang dicantumkan dengan Sistem Pemerintahan Melayu Tradisional telah dapat membina kekuatan baru sehingga mengangkat kedudukan Melaka dalam bidang politik dan juga ekonomi. Tradisi Pemerintahan Islam yang diterap daripada model kepemimpinan Rasulullah S.A.W dan para Khulafa’ ar-Rashidin telah melahirkan suasana baru dalam kehidupan bernegara bagi orang Melayu yang sebelum ini sangat mendewa dan mensucikan Raja-raja melalui konsep “devaraja”, kepada menjadikan Sultan sebagai bayangan Allah di atas muka bumi yang ditaati selagi baginda semua mentaati Allah dan Rasul-Nya.
Sultan: Zilalullah Fil Ardh
Sebelum penubuhan Melaka, belum ada Kerajaan-kerajaan Tanah Melayu menggunakan istilah “Sultan” untuk merujuk kepada Rajanya, kecuali Raja Kedah, Sultan Muzaffar Shah yang memeluk Islam pada 1136M. Penggunaan gelaran Sultan telah menjadi tradisi di Utara Sumatera sejak 840M, kemudian dikembangkan oleh Melaka sejak peng-Islaman Parameswara sekitar 1267M. Dalam sejarah Islam, istilah Sultan hanya muncul selepas zaman Dinasti Saljuk (1037-1194M), sedangkan sebelumnya hanya wujud Khalifah. Nizam al-Mulk (m. 1085M), pemimpin dan pemikir Saljuk yang terkenal, melalui karyanya, Siyasat al-Muluk mengatakan Sultan adalah institusi yang sah dalam Islam, di mana ia bertindak sebagai pemerintah yang memegang kekuasaan, manakala Khalifah kekal sebagai ketua negara. Pendapat ini turut didukung oleh ulamak besar, Imam al-Juwaini (m. 1092M) dan Imam al-Ghazali (m. 1111M). Pandangan mereka menjadi landasan terhadap kewujudan sistem kesultanan dalam Pemerintahan Islam di Nusantara.
Oleh kerana Sultan-sultan di Alam Melayu yang wujud sejak 840M, termasuk Kesultanan Melaka menjadi pemimpin umat dan negara, maka ia memenuhi maksud al-Ghazali apabila mereka memerintah berpandukan Islam. Menurut al-Ghazali, Kesultanan adalah suatu keperluan yang menjadi jambatan antara agama dan urusan dunia, iaitu bertanggungjawab menguatkuasakan Syariat dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara keseluruhannya. Pada zaman Melaka, disebabkan peranan ini, Sultan-sultan memakai gelaran “Khalifatullah fil Ardh” (Pengganti Allah di muka bumi) dan “Zilalullah fil Ardh” (Bayangan Allah di muka bumi) untuk menggambarkan peranan Sultan terhadap pelaksanaan Hukum Allah dan penyebaran agama-Nya. Atas sebab itu, walaupun Melaka adalah sebuah empayar yang merdeka, ia tetap mempunyai hubungan dan ketundukan kepada Khalifah-khalifah Islam di Kaherah (Daulah Abbasiyah) dan Istanbul (Daulah Othmaniyah). Melaka tetap menerima bahawa Khalifah adalah ketua bagi orang-orang beriman (Amir al-Mukminin).
Struktur pentadbiran Melaka
Dengan berasaskan Sistem Kesultanan, Pemerintahan Melaka mengekalkan tradisi pentadbiran Melayu, di mana para pembesar menjadi pentadbir atau Wazir-wazir dengan portfolio khusus. Pada asasnya, sistem ini berasaskan pentadbiran Kerajaan Melayu di Palembang dan Singapura, sebelum Sistem Islam diterapkan. Dalam sistem pentadbiran yang bermula pada zaman Sultan Muhammad Shah, pembesar utama Melaka ada empat tingkat iaitu Orang Besar Empat, Orang Besar Lapan, Orang Besar 16 dan Orang Besar 32. Pentadbir utama ialah Orang Besar Empat yang terdiri dari Bendahara, Penghulu Bendahari, Temenggung dan Laksamana. Bendahara yang menjadi Menteri Utama Melaka adalah ketua pentadbir (seperti Perdana Menteri), dengan tokoh yang paling terkenal ialah Tun Perak. Di samping itu juga, wujud jawatan-jawatan lain yang merupakan pengukuh pentadbiran di Melaka, yang biasa bergelar Datuk, Penghulu, Pemungut Cukai dan Saudagar. Struktur ini menggambarkan ketersusunan sistem pentadbiran Kerajaan Melaka.
Selaku ketua pentadbir, Bendahara adalah penasihat utama Sultan dalam soal pentadbiran dan hubungan luar negara, memberi arahan-arahan atas kepentingan negara dan menjaga alat-alat kebesaran ketika kemangkatan Sultan, selain sebagai Ketua Hakim dan Ketua Pentadbiran. Selalunya Bendahara terlebih dahulu memegang jawatan Temenggung dan Penghulu Bendahari, sebelum dilantik ke jawatan tertinggi itu, dan memakai gelaran Seri Nara Diraja. Pada awalnya Bendahara dibantu oleh dua Wazir, Temenggung dan Seri Bija Diraja yang masing-masing bertanggungjawab terhadap keamanan dan perdagangan serta ketumbukan hulubalang di Melaka. Selain bertanggungjawab terhadap keselamatan dalam negeri, Temenggung yang bergelar Seri Maharaja juga adalah ketua protokol dan bertanggungjawab terhadap Hulubalang Besar dan Laksamana. Penghulu Bendahari yang diwujudkan kemudian adalah Setiausaha Kerajaan dan penjaga khazanah negara, manakala Syahbandar pula menjadi penyelia pelabuhan dan pemungut cukai. Pada zaman Sultan Mansor Shah, jawatan Laksamana diwujudkan secara rasmi sebagai ketua angkatan laut, yang setara dengan Seri Bija Diraja yang bertanggungjawab terhadap pertahanan darat. Dengan struktur pentadbiran dan bidang tugas para pembesar yang tersusun ini, Melaka telah bangkit sebagai kuasa politik Islam di Nusantara.
Pengaruh Islam dalam sistem pemerintahan
Pemerintahan Kesultanan Islam yang berasaskan struktur pentadbiran Melayu di Melaka telah memperlihatkan pengaruh Islam yang kuat apabila Sultan Muzaffar Shah menjadikan Islam sebagai agama rasmi Melaka, sekali gus meletakkan Islam sebagai Dasar Pemerintahan Negara. Semua urusan negara ditadbir menurut peraturan Syariat dan hubungan dengan Negara-negara Islam, khususnya Khalifah di Kaherah diperkukuhkan. Sultan Muzaffar Shah kemudiannya memperkenalkan Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka sebagai penguatkuasaan Undang-undang Syariat, di mana jawatan Qadhi diwujudkan untuk mengendalikan urusan kehakiman negara di bawah Bendahara. Elemen-elemen pentadbiran tradisional Melayu dikekalkan dalam pentadbiran Melaka, tetapi unsur-unsur Islam diterapkan sehingga elemen Melayu tradisional tidak bercanggah dengan Syariat. Keterbukaan Islam menerima sistem-sistem pentadbiran yang sedia ada, kemudian diterapkan dengan prinsip-prinsip Islam seperti persamaan, keadilan, Syura dan sebagainya, telah membolehkan Islam berperanan besar terhadap Kerajaan Melayu di Melaka.
Pengaruh Islam yang lebih ketara dalam pemerintahan di Melaka ialah dengan berlakunya penglibatan para ulamak dalam pentadbiran kerajaan dan peranan kerajaan sendiri yang mendukung gerakan dakwah Islamiyah di Nusantara. Semenjak Makhdum Syed Abdul Aziz menjadi guru agama dan penasihat kepada Parameswara dan Raja Kechil Besar, para ulamak seperti Qadhi Yusof, Qadhi Munawar Shah, Maulana Abu Bakar dan Maulana Sadar Jahan telah berperanan sebagai penasihat Sultan, Qadhi dan juga penggubal undang-undang yang berasaskan Syariat sebagai Undang-undang Melaka. Kerajaan Melaka juga menggalakkan kehadiran ulamak luar untuk mengembangkan ilmu dan berdakwah di Melaka. Kemudian, melalui aktiviti pendidikan, penterjemahan dan penulisan yang berlaku di istana-istana dan masjid, telah melahirkan pula para pendakwah seperti Sunan Gunung Jati dan Sunan Kalijaga, yang kemudiannya dengan dukungan Kerajaan Melaka, telah mengembangkan dakwah ke seluruh pelusuk Nusantara. Tidak dapat ditolak, bahawa peranan Pemerintahan Islam di Melaka sangat membantu proses dakwah ini, sehingga para sarjana merumuskan Melaka sebagai pusat penyebaran Islam pada abad ke-15M.
#TMK
#Sejarah
All Right Reserved by The Melaka Kini | Copyright @ 2019