AYER KEROH 19 Julai – “Tindakan pembangkang bagi mengadakan perhimpunan di hadapan Seri Negeri hari ini (semalam) semata-mata mencari publisiti murahan, jika nak diikutkan siapa yang mulakan dahulu? bukan saya yang mulakan dahulu!,” tegas Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani, Norhizam Hassan Baktee.
Lanjutan kepada perkara itu, satu perhimpunan telah diadakan pembangkang di hadapan Seri Negeri hari ini disebabkan tidak berpuas hati ke atas kenyataan yang dikeluarkan Norhizam dan mendakwa telah menyentuh fizikal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Attan ketika sesi soal jawab yang berlangsung baru-baru ini.
Mengulas mengenai perkara itu, Norhizam berkata, perhimpunan yang diadakan itu sengaja membikin kekecohan malah kenyataanya tidak pernah menyakiti sesiapa pada persidangan itu.
Katanya, pada perbalahan yang berlaku itu, Zaidi tidak sepatutnya menempelak sedangkan pada ketika itu beliau sedang berucap menjawab soalan pertanyaan yang diajukan oleh beberapa barisan ADUN di persidangan itu.
“Waktu saya bercakap dia tak sepatutnya bercakap, dia nak bercakap pun tunggulah saya duduk, dan apabila diberi ruang menanyakan soalan tambahan, masa itulah kena cakap.
“Pada waktu itu juga, saya cuma dengar suara dari kiri, tapi saya tak nampak orang, bila tak nampak kenalah berdiri atas kerusi.
“Tapi bila saya nak bercakap, dia nak bercakap, macam mana saya nak menjawab soalan?.
“Jadi siapa yang tak tahu etika di dalam dewan? mereka yang tak tahu sebenarnya,” katanya ketika ditemui MelakaKini selepas penangguhan sesi pertama pada Persidangan Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri ke-14 di Seri Negeri, semalam.
Menurut beliau lagi, perhimpunan yang diadakan itu tidak mengikut saluran yang betul malah memorandum yang dihantar oleh barisan perhimpunan itu perlu dihantar kepada Pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri.
“Pada saya, kita janganlah layan benda seperti ini, kalau dilayan maka hari ini kita bukan kerajaan, dia sahaja yang jadi kerajaan, maknanye kita kena takut dia, kenapa perlu takut?
“Mereka perlu tahu rakyat buat satu perubahan hari ini supaya mengajar orang terdahulu di mana telah menyusahkan rakyat selama 61 tahun.
“Apa yang kita buat, dasar kita tak menyusahkan rakyat, dasar kita menyenangkan rakyat.
“Kalau saya nak sentuh, kalau saya nak protes, saya boleh protes sebab siapa yang bodohkan saya dahulu? Dia yang bodohkan saya dahulu,” katanya.
Pada masa sama beliau turut mempertikaikan etika bekas ketua menteri, Datuk Seri Idris Haron yang berpengalaman seolah tidak memahami etika dan perundangan ketika berada di dalam DUN.
“Dia mesti tahu, maknanya dia tiada etika malah kenyataan dia itu membabitkan ibu mertua saya juga, kenapa dan mengapa? saya nak bagi penjelasan, jangan libatkan saya.
Terdahulu, perbalahan yang berlaku pada Persidangan Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri kelmarin telah mencetuskan beberapa isu yang dibangkitkan sehingga Ketua Pembangkang mengeluarkan perkataan ‘bodoh’ malah perang mulut itu berlarutan sepanjang persidangan itu.
Sumber – MHI