Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) hari ini menerima penerbangan sulung syarikat tambang rendah Air Asia Bhd (Air Asia) dari Pulau Pinang.
Pesawat A320 dengan kod penerbangan AK6284 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) membawa 174 penumpang yang menjadi perasmi kepada pembukaan laluan baharu ke negeri ini.
Ketua Menteri, Adly Zahari ketika ditemui berkata, dengan adanya penerbangan Melaka ke Pulau Pinang, sekali gus mampu merancakkan lagi sektor ekonomi di Melaka dan mencapai misi 20 juta pelancong tahun ini.
Menurutnya, Air Asia menawarkan penerbangan setiap hari, tujuh kali seminggu dengan harga tiket serendah 79 RINGGIT bagi laluan sehala, dan sudah pasti memberi nafas baharu kepada industri pelancongan.
Hadir sama pada majlis itu, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd. Sofi Abdul Wahab; Pengurus Besar Tourism Melaka, Zairi Suboh; Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat dan Ketua Komersial Serantau AirAsia, Amanda Woo.
Ujar Adly, kerajaan negeri akan terus bersama AirAsia dalam merangka strategi baharu.
Sumber- MHI