Dataran Pusat Islam RM2.9j bakal jadi tarikan baharu
AYER KEROH 11 April – Dataran Pusat Islam negeri yang menelan belanja kira-kira RM2.9 juta dengan dilatari Masjid Al Azim dan Hospital Besar Melaka itu, siap sepenuhnya, Mac lalu dan dijangka akan dirasmikan dalam masa terdekat.
Pembinaan dataran tersebut telah diilhamkan oleh Kerajaan Negeri Melaka bagi membina sebuah dataran yang menghubungkan Masjid Al Azim dengan Pusat Islam Melaka.
Ciri-ciri rekabentuk yang unik telah mendapat sentuhan dari Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri, Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob dan dizahirkan oleh pasukan arkitek Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka.
Dataran seluas 5,183 meter itu mengandungi dua fasa di mana, fasa pertama telah siap pada Mac yang lalu manakala bagi fasa kedua yang akan menyambungkan dataran itu ke Pusat Islam Melaka akan mula pembinaannya pada masa akan datang.
Dengan terbinanya dataran tersebut, ia bukan sahaja boleh digunakan untuk kegunaan aktiviti masjid dan keagamaan, malah ia akan menjadi satu mercu tanda produk baru pelancongan negeri.
Kelebihan dataran itu, pada waktu malam akan disulami dengan pencahayaan lampu yang menarik serta landskap yang direka turut mesra pengguna.
Sumber – Melaka kini