Bersebelahan dengan Jonker Street, anda pasti akan terlihat satu lorong sempit dengan deretan rumah kedai lama dan rumah-rumah ibadah. Di situlah terletaknya lorong yang dipanggil Harmonious Street.
.
Kalau nak tahu, selain panggilan Harmonious Street, lorong sempit ini juga dikenali dengan banyak nama lain. Penduduk tempatan ada 3 nama untuk lorong yang panjang ini antaranya ialah Jalan Tukang Emas, Jalan Tukang Besi dan Jalan Tokong. Peliknya! Kenapa ya? Ketiga-tiga nama oleh penduduk tempatan ini menjadikan jalan atau lorong ini digelar sebagai Harmonious Street kerana melambangkan semangat harmoni antara kaum-kaum terbesar yang terdapat di Malaysia.
.
Apa yang unik dan menariknya di jalan ini, terdapat beberapa buah rumah ibadah penting untuk 3 kaum yang berbeza. Satu pengalaman yang indah dan istimewa bagi anda sekiranya dapat melihat kesemua kaum yang berbeza bahasa, cara hidup dan dan amalan keagamaan dapat hidup dengan aman harmoni di satu tempat yang sama sejak sekian lama.
.
Terkenal dikalangan para pelancong yang sering mengggelar lorong ini sebagai Jalan Tokong kerana deretan tokong-tokong dan kuil Hindu selain kewujudan sebuah masjid lama, Harmonious Street merupakan salah satu tempat yang wajib dilawati dan tersenarai dalam Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.
.
Terdapat banyak deretan kedai-kedai lama yang berusia ratusan tahun dengan senibina yang masih dikekalkan sampai sekarang. Di sini, anda dapat melihat Masjid Kampung Kling bagi penganut agama Islam, Kuil Sri Poyyatha Vinayagar Moorthi untuk para penganut agama Hindu manakala bagi penganut-penganut agama Buddha pula terdapat dua buah tokong iaitu Tokong Cheng Hoon Teng dan Tokong Xiang Lin Si.
.
Harmonious Street menjadi bukti paling besar dan kukuh yang menunjukkan amalan pluralism di Melaka dan sememangnya dipuji oleh banyak pihak. Jom kita lihat keunikan dan sejarah kesemua rumah ibadah yang terdapat di jalan ini.
1. Masjid Kampung Kling
Dibina pada tahun 1748 dengan menggunakan bahan-bahan binaan asal yang berasaskan kayu oleh para pedagang India Muslim, masjid ini diberi nama Masjid Kampung Kling oleh penduduk tempatan kerana terletak di dalam kawasan perkampungan orang-orang India Muslim berasal dari India Selatan. Perkampungan tersebut pernah wujud di sini pada suatu ketika dulu iaitu kira-kira pada kurun ke-18. Sekitar tahun 1872, masjid ini telah dibina semula menggunakan batu-bata bagi menggantikan kayu dengan keagungan gabungan senibina Sumatera, China dan Melayu. Walaupun telah mengalami perubahan dengan struktur konkrit, namun terdapat sesetengah elemen kayu masih dikekalkan pada masjid ini seperti struktur 4 tiang agung di dalam dewan solat utama yang strukturnya membentuk bumbung tipikal masjid-masjid di Melaka yang berlapis tiga dan menirus kepuncak lalu dihiasi dengan perhiasan mahkota seramik atau diperbuat dari karangan laut yang dipanggil mastaka, alang-alang dan rasuk, jenang tingkap, kekisi dan pintu, ukiran-ukiran kayu kepala pintu, mimbar, ukiran sulur bayung serta beberapa lagi yang boleh dilihat masih terjaga dengan rapi sehinggalah sekarang. Dengan binaan serta struktur yang cukup asli dan cantik, masjid ini kemudiannya dipagari tembok batu tinggi yang mengasingkan dan melindunginya daripada pandangan luar.
Anda boleh memasuki masjid ini melalui pintu gerbang utamanya yang cukup megah dan unik. Struktur pintu gerbangnya diperbuat daripada gabungan konkrit dan kayu, terselit elemen yang tidak dapat ditemui pada binaan masjid-masjid lain di seluruh Malaysia dan dunia. Pelbagai ornamen hiasan menghiasi pintu gerbang termasuklah arca besi yang diletakkan di atas seramik sebagai tunjuk langit, 3 butir ukiran kayu Melayu motif lebah bergayut serta beberapa ukiran kalimah dan ayat-ayat suci. Struktur bumbungnya yang melengkung di kiri dan kanan bumbung menguatkan lagi pengaruh unsur senibina seperti bumbung tokong Cina.
Masjid ini juga mempunyai sebuah menara azan daripada konkrit yang berbentuk pagoda dengan gabungan gaya dan pengaruh oleh senibina Cina, Hindu dan Islam. Jangan lepaskan peluang untuk masuk dan tinjau ke dalam masjid ini untuk melihat kehalusan kerja kayu oleh pandai tukangnya pada ketika itu dalam menghasilkan mimbar yang penuh dengan ukiran bersepuh air emas. Mata anda pastinya akan tertarik dengan keindahan senibina dan struktur mimbar dan hiasan dalamannya. Terdapat tiang-tiang berhias dengan gaya senibina Corinthian serta lampu-lampu chandelier Victoria yang antik menghiasi dewan solat utamanya sekaligus menampakkan prestij dan kemewahan masjid ini. Masjid ini juga dilengkapi dengan sebuah kolah air besar dengan pancuran air bertingkat gaya Victoria. Binaan kolah air yang lebih tinggi daripada paras tanah dilengkapi dengan beberapa tingkat anak tangga dihiasi dengan jubin antik indah berwarna warni diimport dari negara China. Keunikan dan keindahan masjid ini sering menggamit kedatangan pengunjung dan pelancong luar untuk melihat sendiri dengan lebih dekat lagi sambil merakam gambar.
2. Kuil Sri Poyyatha Vinayagar Moorthi
Merupakan kuil Hindu orang-orang Chitty atau peranakan India yang tertua di Malaysia untuk penyembahan Tuhan Vinayagar atau lebih dikenali sebagai Ganesha, yang merupakan Dewa Gajah. Ia dibina pada tahun 1781 di mana tanahnya telah diberi oleh Belanda kepada Kapitan Thavinayagar Chitty yang menjadi ketua orang-orang Chitty. Beliau membina kuil ini dengan struktur binaan Hindu serta pengaruh Belanda yang jelas dapat dilihat pada pintu masuk, dinding, kubah dan bumbung. Di dalam dewan penyembahan, terdapat binaan arca dewa dengan kepala berbentuk gajah dan badan menyerupai manusia bertangan empat yang melambangkan dewa Ganesha. Dewa Ganesha terkenal dengan kebijaksanaan yang luar biasa dimana ia boleh menunaikan sebarang hajat apabila diminta seseorang. Penganut-penganut Hindu dan penyembah Dewa Ganesha datang untuk meminta disembuhkan daripada bermacam-macam penyakit. Mereka juga meminta kemakmuran dan kejayaan hidup, kegembiraan dalam kehidupan suami isteri serta anak-anak.Terdapat juga sebuah altar untuk pemujaan ayah, ibu serta Tuhan Muruga iaitu adik kepada Tuhan Vinayagar.
Kesederhanaan dapat dilihat pada unsur senibina dan struktur binaan kuil ini sekaligus memberikan perbezaan besar dengan kuil-kuil yang terdapat di India Selatan, dimana binaan dan struktur senibina Dravidia berbentuk Pallava lebih kompleks dan juga dipenuhi arca-arca dewa-dewi Hindu pada banyak barisan gopuram atau menara gapura, kuil ini cuma memiliki satu barisan gopuram sahaja dengan gambaran sebanyak satu tuhan pada setiap baris gopuram seperti yang dapat dilihat sekarang. Antara acara-acara dan festival yang dirayakan di kuil ini adalah perayaan Datuk Chachar, Masi Magam dan Kenduri untuk Tuhan Muruga.
Kuil yang menerima pengiktirafan daripada UNESCO sebagai tapak warisan ini sentiasa menerima kunjungan daripada penganut-penganut Hindu dari dalam dan luar negara dan merupakan tempat kunjungan yang wajib dilawati oleh penganut Hindu dan para pelancong untuk melihat dan meneroka kuil Hindu tertua di negara kita.
.
3. Tokong Cheng Hoon Teng Dan Tokong Xiang Lin Si
Satu lagi lokasi yang wajib anda kunjungi ketika berada di Harmonious Street adalah Tokong Cheng Hoon Teng. Tokong yang namanya bermaksud Tokong Awan Cerah ini merupakan kuil Buddha tertua sekaligus yang termegah di Melaka. Tokong Cheng Hoon Teng dibina pada tahun 1645 oleh Kapitan Cina Tay Kie Ke. Pada masa itu, tokong ini bukan sahaja digunakan sebagai memenuhi keperluan keagamaan, tetapi juga berfungsi sebagai pusat pentadbiran rasmi dan mahkamah untuk Kapitan.
.
Selain daripada Kapitan Tay Kie Ki, terdapat juga Kapitan lain termasuklah Kapitan Lee Wei King, Kapitan Chan Lak Kua, dan Kapitan Chua Su Cheong juga memegang peranan penting dalam fasa-fasa pembangunan dan pengindahan kompleks Tokong Cheng Hoon Teng. Kapitan Chua bertanggungjawab untuk pembinaan semula tokong ini pada 1801 manakala Kapitan dan ketua tokong atau Teng Choo selepasnya menyumbang kepada penambahan unsur-unsur estetik dekorasi dan struktur bangunan itu.
.
Pada tahun 1824, pemerintahan British telah menghapuskan sistem Kapitan dan ketua Tokong yang dikenali sebagai Teng Choo, dan telah bertindak mengambil alih beberapa tanggungjawab Kapitan. Tokong ini menerima pengiktirafan UNESCO dalam senarai Anugerah Merit untuk Pemuliharaan Warisan Budaya.
.
Kini, Tokong Cheng Hoon Teng bukan hanya menjadi pusat ibadah bagi kaum Cina, khususnya Hokkien, tapi juga menjadi pusat pentadbiran dan pusat kegiatan penganut Buddha, sekaligus menjadi tempat tumpuan yang tak pernah sepi dari kedatangan para pengunjung. Tokong ini didominasi pelbagai jenis dekorasi berwarna-warni dan indah. Senibina dan struktur binaannya menepati falsafah-falsafah Tao yang dapat dilihat jelas melalui tingkap, pintu, dinding sehinggalah bentuk atap dan bumbungnya. Arca dan ukiran berbentuk naga, dewa dewi, serta pelbagai jenis haiwan yang terdapat dalam kepercayaan Tao dapat dilihat di sini. Terdapat beberapa lukisan yang menceritakan tentang keperibadian Buddha. Setiap sudut Tokong Cheng Hoon Teng juga menepati prinsip-prinsip Feng Shui yang mentikberatkan soal keharmonian dan kesepaduan dengan alam. Secara keseluruhan, tokong ini memiliki tujuh dewan sembahyang, dan dewan utamanya, digunakan untuk penyembahan Dewi Kuan Yin.
.
Terdapat dewan yang lain juga, merupakan dewan yang baru ditambahkan dan didedikasikan untuk Dewa Kekayaan, Dewa Umur Panjang, serta dewa-dewa yang lain. Di sini, anda tidak boleh menjumpai Dewa Penjaga Pintu. Kebiasaannya, di setiap kuil Cina, di depan pintu selalu dijaga Dewa yang akan melindungi isi bangunan dari syaitan dan anasir-anasir buruk. Namun, di Cheng Hoon Teng, sebagai menggantikan Dewa Penjaga Pintu, diletakkan lapan orang sami terkenal dalam kepercayaan Tao, iaitu digelar sebagai The Eight Immortals. The Eight Immortals digambarkan sebagai lapan orang sami yang sedang menunggang haiwan tunggangan masing-masing.
.
Di dalam dewan utama, diletakkan seekor naga yang memiliki empat jari yang melambangkan The Eight Immortals. Di bawah naga, terdapat beberapa barang serta senjata yang dilekatkan bersama The Eight Immortals seperti seruling, pisau, teratai, dan kipas. Tambah unik, ketika mengelilingi tokong, anda akan melihat satu gunung kecil buatan yang di atasnya, terdapat beberapa patung sami. Sami-sami tersebut, diabadikan dalam pelbagai gerakan seperti gerakan meditasi hinggalah gerakan sedang ketawa.
Tokong Xiang Lin Si pula terletak bertentangan dengan Tokong Cheng Hoon Teng. Bangunan tokong setinggi dua tingkat ini merupakan rumah ibadah bagi Buddha Mahayana, salah satu daripada tiga cabang ajaran Buddha selain Theravada dan Vajrayana. Aras dua tokong ini merupakan spot terbaik untuk merakam gambar panorama keseluruhan kompleks Tokong Cheng Hoon Teng dan panorama Harmonious Street. Tokong ini menyimpan koleksi Pali Canon yang merupakan kitab ajaran agama Buddha.
Jadi, kepada anda yang sedang berjalan-jalan di sekitar Jonker Walk, jangan lupa untuk melewati Harmonious Street berdekatan untuk meneroka dan melihat sendiri keunikan rumah-rumah ibadah sambil melihat keharmonian para penduduk setempat dalam menunaikan kewajipan kepada agama dan ajaran masing-masing tanpa sebarang masalah mahupun konflik sejak ratusan tahun lamanya.
Sumber – Destinationmelaka.my