Harta Karun Flor de la Mar : Misteri Nusantara Yang Belum Ditemui Hingga Kini

Kisah tenggelamnya kapal Flor De La Mar merupakan salah sebuah kisah sejarah penting melibatkan negara kita. Sehingga kini bangkai kapal itu serta harta yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit masih belum berjaya ditemui, menjadi salah satu misteri dunia yang belum dapat dijawab.

 

Tahukah anda sejarah kapal ini yang sangat berkait dengan negara kita?

Flower of the Sea

 

 

Kapal Flor de la Mar yang bermaksud ‘Bunga Lautan’ atau ‘Flower of the Sea’ merupakan sebuah kapal besar milik Portugis, seberat 400 tan yang belayar di samudera pada tahun 1500-an, sejak dibina pada tahun 1502.

Flor de la Mar mempunyai rekod perkhidmatan yang cukup cemerlang kerana pernah terlibat dalam beberapa pertempuran lautan yang memberi kesan besar pada penjajahan Portugis di Asia Tenggara.

Kapal itu terlibat dalam serangan ke atas Pelabuhan Diu di India pada tahun 1509 yang dimenangi oleh Portugis membolehkan Portugis mengawal laluan lautan Hindi, yang menjadi titik tolak kedatangan Portugis ke negara kita. Kapal ini jugalah yang membantu penaklukan Melaka oleh penjajah Portugis.

Antara kapal terbaik di dunia pada zamannya

 

Ketika dibina, Flor de la Mar merupakan antara binaan kapal terbaik dan termoden pernah dibangunkan ketika itu. Dipuji kerana saiznya yang besar serta keindahan seni buatannya, Flor de la Mar belayar buat kali pertama dari Lisbon ke India di bawah kendalian Estevao da Gama, anak kepada Vasco da Gama. Kapal itu pulang semula ke Portugal sarat dengan rempah yang dibawa dari India.

Pelayaran seterusnya membawa Flor de la Mar kembali ke India namun dikendalikan Joao da Nova. Perjalanan kali ini tidak selancar pelayaran sulungnya selepas Flor de la Mar perlu singgah di Mozambique dan tersadai di situ selama setahun lebih, untuk kerja-kerja pembaikian.

Melihat potensi Flor de la Mar, Portugis mula menggunakan Flor de la Mar bukan sahaja untuk perdagangan malahan Flor de la Mar mula terlibat dalam siri-siri pertempuran. Selepas Portugis berjaya menakluk pelabuhan Diu dan Goa pada tahun 1510, sasaran mereka seterusnya tidak lain tidak bukan, salah satu bandar terkaya di dunia ketika itu – Melaka yang diperintah Kesultanan Melayu Melaka.

Belayar ke Melaka

Afonso de Albuquerque, satu nama yang tidak asing lagi bagi kita – dilantik untuk mengetuai ekspedisi Portugis mahu menguasai Melaka. Albuquerque ketika itu menjawat jawatan Gabenor Portugis di India diberikan tugas mengepalai perjalanan mereka dengan kapal Flor de la Mar. Kita semua sudah tahu apa berlaku selepas itu, jadi tak perlu kami ulas lebih lanjut.

Berikutan kejayaan Portugis menakluk Melaka, banyak harta dari Melaka berjaya dirampas Portugis oleh Albuquerque. Berita berkenaan harta yang telah berjaya dirampas ini menggembirakan hati Raja Manuel I di Lisbon. Beliau mengarahkan Albuquerque membawa pulang kesemua harta milik kerajaan Melaka dengan menggunakan Flor de la Mar.

Walaupun begitu, keadaan Flor de la Mar ketika itu sudah mengalami banyak proses pembaikian akibat kerosakan serta peperangan yang dihadapi, menjadikannya kurang kukuh untuk membawa balik harta yang terlalu banyak.

Flor de la Mar bukan saja mengangkut hasil rampasan milik kesultanan Melayu Melaka, kapal itu sendiri turut sama mengangkut hadiah pemberian kerajaan Raja Siam sebagai tanpa persahabatan mereka dengan Portugis. Harta peribadi milik Albuquerque juga turut sama diisi dalam kapal tersebut.

Karam dalam perjalanan ke Lisbon

 

Memulakan pelayaran panjang kembali ke Lisbon dengan muatan yang menjadi rekod (ketika itu) sebagai koleksi harta paling besar dikumpulkan Portugis, menyukarkan perjalanan Flor de la Mar.

Flor de la Mar memulakan pelayaran pada November 1511 namun hanya sempat belayar selama lebih sebulan sebelum menghadapi cuaca buruk serta ribut ketika melalui Sumatra di Selat Melaka. Pelanggaran dengan kawanan ikan di lautan menyebabkan kapal itu terbelah dua sebelum, berikutan kondisinya yang sebenarnya diisytihar tidak selamat untuk pelayaran. Harta yang diangkut Flor de la Mar tenggelam ke dasar lautan dengan Albuquerque berjaya berpaut pada rakit yang menyelamatkannya.

Wujud pelbagai teori berkenaan tenggelamnya Flor de la Mar termasuklah insiden itu sebenarnya konspirasi Albuquerque mahu membolot harta itu. Semua itu tidaklah dapat dipastikan kesahihannya. Yang dipersetujui ramai, mengatakan kapal tersebut karam tidak jauh daripada kedudukan asal Kerajaan Aru di Sumatra, yang ketika itu menguasai sebahagian selat Melaka.

 

Ketika ini, harta Flor de la Mar masih belum berjaya ditemui dengan anggaran jumlah nilai sebenarnya mencecah RM10.6 billion, termasuklah 55 ribu kilogram emas yang dibawa. Proses pencariannya sudah beberapa kali dibuat dengan pengumuman penemuan selalunya berakhir tanpa sebarang bukti kukuh.

Penemuan terbaru berlaku pada tahun 2014, apabila sebuah syarikat mengumumkan mereka berjaya menemui badan kapal yang dipercayai Flor de la Mar di Semarang, Indonesia dengan menggunakan teknologi dron. Walaupun demikian tidak ada makluman lanjut diberitakan selepas itu.

Tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan juga Portugal melakukan tuntutan hakmilik ke atas harta Flor de la Mar yang tenggelam di mahkamah antarabangsa The Hague. Walau bagaimanapun, sehingga kini tidak ada negara yang disahkan berhak menamakan diri mereka tuan punya harta tersebut sekiranya tinggalan Flor de la Mar telah berjaya ditemui semula.

 

Sumber

 

 

#TMK

#Sejarah

 

All Right Reserved by The Melaka Kini  | Copyright @ 2019

Để lại một bình luận

Email của bạn sẽ không được hiển thị công khai. Các trường bắt buộc được đánh dấu *