Kajian terhadap Alam Melayu memang dah lama dilakukan. Sebab tu lah adanya tulisan Alfred Russel Wallace bertajuk The Malay Archipelago yang menceritakan pengembaraan sainitifiknya dari tahun 1854 hingga 1862. Jauh sebelum tu pada tahun 1824, Stamford Raffles dah mengumpul dan mengkaji manuskrip dan dokumen asal Melayu.
Dia dah membawa lebih kurang 300 jilid bersama ke dalam kapal “East Indiaman Fame” untuk pulang ke British. Malangnya, kapal tu terbakar dan tenggelam dalam perjalanan menyebabkan semua manuskrip tadi tak dapat diselamatkan.
Contoh isi dalam manuskrip Melayu. Imej dari Manuskripmelayu.blogspot.
Banyak khazanah Melayu yang mungkin kita tak tahu dah hilang buat selama-lamanya. Tapi, kita tetap bersyukur kerana masih ada para pengkaji yang berusaha dan mengkaji manuskrip serta naskhah Alam Melayu yang masih wujud. Manuskrip-manuskrip Melayu dari ilmu perubatan, ramalan, firasat, penujuman dan pertukangan biasanya akan dapat perhatian pengkaji. Tapi, korang tahu tak terdapatnya manuskrip lama orang Melayu mengenai ilmu bedil atau ilmu senjata api?
Biar betul? Bukan ke kerajaan Melayu dulu guna senjata tradisional sebab tu lah Melaka kalah dengan Portugis pada tahun 1511? Nampaknya korang kena tahu bahawa…
Penemuan acuan purba membuat meriam di Sungai Tembeling pada kurun ke-13
Jarang untuk kita tengok dalam cerita yang melibatkan sejarah kerajaan Melayu akan ada pahlawan yang pegang senjata api. Filem hanya tunjuk penggunaan senjata macam keris, pedang, busur dan panah atau pun tombak. Sampaikan ada gambaran bahawa orang Melayu masih mempertahankan diri hanya menggunakan senjata tradisional sewaktu pemerintahan British. Ada ke patut?
Lukisan kejatuhan Melaka pada tahun 1511. Pahlawan kita hanya pakai keris je? Imej dari Malaysian Review.
Mungkin ramai yang tak tahu, tentera Melaka dah pun gunakan senjata api sewaktu berperang dengan penjajah Portugis. Buktinya, ada catatan dari Alfonso de Alburquerque (Comentários do Grande Afonso de Albuquerque) bahawa ada lebih kurang 3,000 senjata api dirampas oleh penjajah Portugis selepas tentera Melaka berundur. Ada catatan lain mengatakan 8,000 senjata api. Lagi banyak kot!
Ini dah cukup untuk membuktikan yang orang Melayu dah guna senjata api sejak abad ke-15 lagi. Bukan setakat ada, tapi kualiti dia pun antara yang terbaik pada zaman tu. Menurut catatan Alfonso De Albuquerque lagi, 2,000 dari 3,000 senjata api mempunyai kualiti yang cukup tinggi dengan hasil buatan besi yang mengagumkan. Senjata yang ada di Melaka ketika itu sama hebat dengan senjata-senjata buatan Jerman.
Persoalannya, macam mana orang Melayu boleh belajar buat senjata? Menurut para sarjana, selepas orang Arab terutamanya kerajaan Turki Uthmaniyyah memperkenalkan senjata api kepada dunia, orang Melayu dah mula buat senjata sendiri. Dalam kertas kerja bertajuk Some Discoveries on the Tembeling tulisan W. Linehanmencatatkan bahawa terdapat penemuan acuan-acuan purba untuk membuat meriam di Tebing Sungai Tembeling, Pahang yang berusia seawal kurun ke-13 atau 14.
Jadinya, jom kita tengok, senjata api jenis apa yang nenek moyang kita guna dulu.
Salah satunya, meriam yang siap boleh pusing 360 darjah
Ini adalah senarai senjata api yang dibentangkan oleh Prof. Madya Dr. Muhammad Pauzi Abd Latif, Pengarah Muzium, Institut Antarabangsa Tamadun Islam & Dunia Melayu (ISTAC). Senjata-senjata ni telah dicatat dalam dokumen tulisan Alfonso De Albuquerque, Duerte Barbosa dan lain-lain.
1) Meriam besar (Cannon)
Meriam Sri Patani. Imej dari Wikipedia.
Ianya bersaiz besar dan mempunyai laras yang panjang. Berfungsi sebagai meriam pertahanan. Ia diletakkan di atas pengangkut beroda sebab ia terlalu berat. Ia kena tolak ke depan dan ke belakang kerana terlalu berat.
2) Lela (Swivel gun)
Meriam ni boleh berpusing 360 darjah. Dia mesti ada cagat dengan fungsi untuk menyangga meriam. Ianya panjang berbanding dengan Rentaka.
3) Rentaka/Meriam Kecil/Meriam Putar
Ianya berpusing juga dengan saiz minima 5 cm. Dalam koleksi Muzium Negara ada meriam bersaiz 5.4 cm. Biasanya diperbuat dari tembaga.
4) Meriam Katak/Tomong (Bombard)
Dikenali dengan nama Peca De Malaca (piece of Malaca), berukuran 3 meter panjang. Berada di Koleksi Artillery & Military Museum Artifacts, Lisbon, Portugal.
5) Istinggar/Senapang Kancing Sumbu
Menurut Prof. Madya Dr. Muhammad Pauzi, dia dapat senjata ni dari seorang pengumpul artifak Melayu, Portugal namanya di Belanda pada tahun 2015. Portugal menyimpan tiga Istinggar dan salah satunya dah dibeli oleh Prof.
6) Cetbang/Bercos
Senjata ni ditemui di Sungai Beruas, Perak pada tahun 1986. Kemudian, ianya ditempatkan di Muzium Beruas. Canggihnya senjata ni ialah kerana tak perlu isi peluru dari depan. Tapi, dimasukkan dari bahagian belakang (chamber) yang terbuka serta boleh masukkan peluru semula selepas dah habis.
7) Handgun Melayu (belum disahkan lagi)
Selepas semua senjata yang disebutkan ni, Prof mengatakan ada satu lagi senjata yang disebut dalam catatan lama yang ramai tak tahu. Tapi, Prof cakap dia masih terus kajian pasal senjata ni untuk dapatkan pengesahan. Senjata yang disebut itu adalah small handgun atau handgun Melayu.
Istilah Inggeris memanggil handgun ini sebab orang yang pakai ni sebelah tangan memegang senjata dan sebelah tangan lagi memegang pelantar. Kemudian. dia akan masukkan lead ball dan belerang dalam handgun tu. Selepas tu cucuh dengan pelantar yang ada api pada handgun dan ia akan menembak.
Naskhah Ilmu Bedil: Pembuatan senjata api Melayu sangat teliti dengan memasukkan elemen ritual
Siap ada manual lagi tau. Imej dari Wasifwan Blog.
(Subtopik ni banyak merujuk jurnal bertajuk Naskhah Ilmu Bedil Dan Renungan Pada Estimologi Melayu Berhubung Penggunaan Senjata Api tulisan Wan Mohd Dasuki Wan Hasbullah)
Para pengkaji ada menjumpai beberapa himpunan tulisan (korpus) bahan-bahan bertulis tangan yang menyebut mengenai ‘ilmu bedil’. Untuk orang Melayu lampau, bedil ni merujuk kepada senjata api sama ada jenis senapang atau pun artileri.
Daripada data-data yang didapati, orang Melayu memang tahu kaedah untuk membuat senjata api dengan proses pembuatannya yang tersendiri. Tiga bahan penting dalam pembuatan senjata api Melayu adalah senapang, peluru dan ubat bedil. Gambar kat bawah ni menunjukkan proses membuat dan menyediakan ketiga-tiga bahan ni tadi.
Pada operasi penyediaan, acara ritual turut berlaku terhadap senapang, peluru dan ubat bedil yang nak digunakan. Usaha ni adalah untuk meningkatkan kesan psikologikal termasuk memberi ketenangan dan keyakinan sewaktu tembakan dilepaskan. Untuk senapang, ritual yang terlibat dinamakan sebagai ‘menapakan’ senapang. Ritual tu akan bantu fokus penembak supaya menghasilkan tembakan yang efisyen.
Bagi peluru, ia diperbuat dari timah putih yang sepadan dengan kaliber senapang. Sebelum dijampi, ia akan dicampur dan disentuhkan dengan bahan-bahan yang dikatakan ada kuasa ghaib macam air mani, darah, batu, lintar ataupun minyak jarak yang pokoknya tumbuh dari serkupan tengkorak harimau atau manusia. Proses ni semua dinamakan sebagai menunang untuk mengaktifkan kekuatan ghaib pada peluru.
Senjata api ciptaan orang Melayu telah diolah mengikut budaya sendiri
Menurut pengkaji ilmu bedil Melayu, pendekar tembak Melayu bukan sahaja belajar cara mengendalikan dan membuatnya dari teknologi asing. Malah, mereka mengadaptasi dan mengolah teknologi itu bertepatan dengan kebudayaan sendiri. Sebab tulah adanya aktiviti macam menakur dan menunang senapang serta ritual pada peluru. Ini kerana orang Melayu dulu mempunyai metafizik tasawuf dan kebudayaan warisannyayang tersendiri.
Bergaya! Imej dari Pinterest Azreen Badarudin.
Jadi, amatlah rugi untuk kita seluruh rakyat Malaysia kalau buat-buat tak tahu je mengenai teknologi senjata api atau ilmu bedil yang terbukti wujud naskhahnya sehingga sekarang. Diharapkan, perbincangan mengenaik topik ni dapat dirancakkan lagi pada masa akan datang agar anak bangsa kita lebih yakin bahawa kita mempunyai nenek moyang yang hebat dan maju dalam teknologi.
#TMK
#Sejarah
All Right Reserved by The Melaka Kini | Copyright @ 2019