Kronologi Negeri Melaka Sehingga Kurun ke-15

Tahun 1396

Mengikut riwayat Sejarah Melayu, Parameswara merupakan putera raja Palembang kurun ke empat-belas yang melarikan diri dari musuhnya iaitu orang-orang Jawa. Baginda telah melarikan diri ke Temasik (sekarang dikenali sebagai Singapura) dan menjadikan dirinya sebagai raja. Tidak lama kemudian, baginda dihalau dari Temasik oleh penjajah dari Siam dan dengan pengikut-pengikutnya sampai ke pantai barat Semenanjung Tanah Melayu untuk mencari tempat untuk berselindung. Pada mulanya mereka menjadikan Muar, Johor sebagai tempat untuk bermastautin tetapi keadaannya tidak sesuai kerana terdapat terlalu banyak biawak. Baginda kemudian memilih tempat kedua untuk membina istana tetapi ianya tidak berkekalan.

Parameswara kemudian menjelajah ke tempat lain. Dalam satu rombongan memburu, baginda sampai ke sebuah sungai bernama Bertam. Di sana, beliau terlihat seekor kancil yang dikejar oleh anjing-anjing pemburu baginda telah menendang salah seekor daripada anjingnya jatuh ke dalam sungai. Baginda amat terkejut dengan keberanian kancil tersebut dan dengan serta-merta menamakan tempat tersebut dengan nama Melaka, sempena dengan nama pokok di mana baginda sedang berteduh.

Kesultanan Melaka memerintah negeri Melaka selama 110 tahun sehingga ditewaskan oleh pihak Portugis pada tahun 1511.

Kurun Ke-15

1400 – Parameswara, putera raja dari Palembang, setelah ditumpaskan oleh Majapahit menuju ke Temasik (nama asal Singapura) dan akhirnya membuka negeri Melaka.

1403 – Laksamana Yin Ching dalam misi perdagangannya telah singgah di Melaka dan menjalinkan hubungan diplomatik dan perdagangan China – Melaka.

1405 – Parameswara menghantar utusannya ke China bagi mengukuhkan hubungan diplomatik yang sedia terjalin.

1409 – Laksamana Cheng Ho (Zheng He), ketua Armada perdagangan China dan para pembesar tiba di Melaka bagi mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara.

1411 – Parameswara diiringi pembesar Melaka dengan rombongan pengiring sebanyak 540 orang serta ditemani oleh Laksamana Cheng Ho belayar untuk melawat Yung Lo, Maharaja Dinasti Ming di Cina.

1414 – Parameswara berkahwin dengan Puteri Pasai. Baginda memeluk agama Islam dan memakai gelaran Sultan Iskandar Shah (1414-1424).

1424 – Parameswara mangkat dan anakandanya, Sri Maharaja, menaiki takhta dan menukar namanya menjadi Sultan Muhammad Shah (1424-1444). Baginda telah memerintah mengikut ajaran Islam, mengasaskan etika istana dan menyebarkan Islam.

1444 – Raja Ibrahim, putera bongsu Sultan Muhammad Shah, menjadi pemerintah selepas kemangkatan ayahandanya.

1445 – Raja Ibrahim dibunuh dan dimakamkan dengan gelaran Sultan Abu Syahid.

1446 – Raja Kassim, kekanda Sultan Abu Syahid, menaiki takhta dan memakai gelaran Sultan Muzaffar Shah (1446-1458) dan mengisytiharkan Islam sebagai agama rasmi negeri.

1447 – Serangan Siam yang pertama ke atas Melaka berlaku, tetapi disekat oleh angkatan perang Melaka. Pihak Siam ditewaskan tidak jauh dari Muar.

1456 – Tun Perak dilantik menjadi Bendahara atau Perdana Menteri dengan gelaran Bendahara Paduka Raja. Beliau menjadi terkenal kerana pentadbiran yang baik dan bertanggungjawab dalam memajukan Melaka. Beliau berkhidmat di bawah empat Sultan dan merupakan tulang belakang kepada perkembangan Melaka ke mercu kekuasaannya di Kepulauan Melayu.

1458 – Sultan Mansur Shah menaiki takhta. Maharaja China menghantar Laksamana Cheng Ho yang membawa Puteri Hang Li Po dan dikahwinkan dengan Baginda. Sultan Mansur Shah juga menghantar Tun Perpateh Puteh dengan segolongan pengiring ke negeri Cina untuk mengiring Hang Li Po.

1477 – Sultan Mansur Shah mangkat dan Sultan Alauddin Riayat Shah (1477-1488) menaiki takhta pada umur 15 tahun. Baginda merupakan seorang yang tegas dalam melaksanakan tugasnya.

1488 – Sultan Alauddin diracun mati di Pagoh. Kemudian Sultan Mahmud Shah (1488-1511) menaiki takhta atas jasa Tun Perak dan juga Hang Tuah.

1498 – Tun Perak meninggal dunia.

#TMK

#Sejarah

All Right Reserved by The Melaka Kini  | Copyright @ 2019

Để lại một bình luận

Email của bạn sẽ không được hiển thị công khai. Các trường bắt buộc được đánh dấu *