Sejauh mana bahasa cerminan bangsa?
Rasanya, baik pihak berkenaan tukau ayat kat papan iklan. Apa salahnya guna bahasa ibunda kita kan?…
MENGELIRUKAN, itulah gambaran yang boleh diletakkan apabila sebuah papan tanda iklan yang dipasang memberi pelbagai persepsi masyarakat.
Tinjauan MelakaKini kali ini mendapati sebuah iklan gergasi yang dipasang sepanjang jejantas jalan raya di Persimpangan Jalan Taming Sari-Peringgit mendatangkan persepsi buruk netizen terhadap penyalahgunaan bahasa yang mengelirukan.
“KTHXBYE” merupakan perkataan yang menjadi bualan netizen tular di media sosial adalah gabungan bahasa singkat yang mengelirukan dan dibahaskan di laman itu.
Singkatan perkataan itu membawa maksud ‘Okay,Thanks,Bye’ (Okay, terima kasih, selamat jalan) diletakkan di papan iklan tersebut yang juga merupakan iklan daripada produk snek terkenal di negeri ini.
Seorang pengguna jalan raya, Ekhwan Hakim Azmi, 25, berkata, perkataan tersebut memang mengelirukan dan tidak membawa sebarang mesej untuk disampaikan.
Menurutnya, perkataan berkenaan memberi pelbagai pandangan masyarakat terhadap penggunaan bahasa yang tidak betul.
“Sepatutnya, gunalah bahasa ibunda kita yang perlu dijadikan cerminan bangsa di negara ini.
“Kalau nak letak perkataan perlulah dengan ejaan yang betul dan apa salahnya jika guna Bahasa Melayu yang merupakan bahasa warisan kita,” katanya ketika ditemui MelakaKini.
Dalam pada itu seorang penduduk, Nur Farha Natasha Husain, 23, berkata, penggunaan bahasa yang betul wajib digunakan terutama di dalam media yang menyampaikan mesej kepada masyarakat.
Ujarnya, penggunaan bahasa yang diletakkan di kawasan tumpuan utama itu seolah-olah tidak menghormati bahasa kebangsaan yang menjadi bahasa utama di negara ini.
“Perkara ini perlu dipandang serius disebabkan ianya melambangkan jati diti bangsa kita malah ianya perlu ditekankan oleh segenap masyarakat.
“Malah, melalui pemerhatian saya di media sosial ramai netizen hairan bagaimana iklan ini diluluskan.
“Malah, mereka juga berpandangan perkara ini perlu diteliti dengan serius oleh pihak berwajib seperti Dewan Bahasa Pustaka (DBP).
“Sebagai rakyat Malaysia kita seharusnya menghormati bahasa kebangsaan ini kerana kebelakangan ini banyak permasalahan berlaku di dalam penggunaan bahasa,” katanya.
Penggunaan bahasa yang betul seharusnya ditekankan bagi mengekalkan warisan bangsa buat generasi akan datang.
Walaupun kecanggihan di dunia berteknologi melambangkan ketamadunan bangsa namun sejauh manakah kita mengagungkan bahasa kita?
Masyarakat perlu ingat, sesungguhnya bahasa itu melambangkan bangsa, tetapi warisan itu yang menentukan bangsa.
Sumber -Melaka Hari Ini