PANGLIMA AWANG, ORANG MELAYU PERTAMA YANG MENGELILINGI DUNIA

Di seberang Tambak Johor, ada cerita menarik tentang sejarah Singapura. Tugu Sang Nila Utama (putera raja dari Palembang) didirikan di kawasan Stamford Raffles mula-mula mendarat (59 Boat Quay) di pulau yang asalnya dikenali sebagai Temasik tu.

Menurut hikayat, cicit Sang Nila Utama iaitu Parameswara merupakan pengasas Kesultanan Melayu Melaka. Selepas Melaka jatuh ke Portugis pada tahun 1511, dua orang putera Sultan Mahmud iaitu Raja Muzaffar Shah dan Raja Alauddin Riayat Shah masing-masing telah mengasaskan Kesultanan Perak dan Kesultanan Johor pada tahun 1528.

 

Singapura meraihkan penjajahan terhadap mereka?

Tugu Sang Nila Utama tersebut telah dibina di hadapan tugu Stamford Raffles, bersama Tan Tock Seng dan Sheikh Abdullah bin Sheikh Abdul Kadir atau Munsyi Abdullah (dari Melaka), dan Naraina Pillai (dari Pulau Pinang). Tugu-tugu ini dibina sempena sambutan ulang tahun ke-200 Singapura sebagai tanda kedatangan Raffles pada 1819.

Tatkala kontroversi berkenaan program peringatan ini kerana meraikan penjajahan terus bergema, ia membuka perdebatan yang menarik tentang bagaimana pengiktirafan dibuat terhadap karya sastera agung seperti Hikayat Sulalat al-Salatin – adakah ia kini diterima sebagai fakta sejarah Singapura?

 

 

Tak lama sebelum tugu-tugu ini menjadi bualan ramai, ada satu pameran menarik bertajuk “Enrique de Malacca Memorial Project” yang dibuat di republik tersebut dari 2016 hingga 2017, menjadi tular baru-baru ini. Dalam pameran tersebut, antara yang dipamerkan adalah patung ‘Enrique de Malacca’ bersama video dokumentari dan artifak, yang mana nama ini sering dikaitkan sebagai pengembara pertama yang mengelilingi dunia.

 

Nama-nama besar seperti Ibnu Battuta dan Laksamana Cheng Ho pastinya terkenal di seantero dunia, namun nama Panglima Awang tetap mekar dalam kalangan masyarakat Nusantara, khususnya Malaysia.

 

Tatkala ada yang beranggapan bahawa Ferdinand Magellan (Portugis) mahupun Sebastian del Cano (Sepanyol) adalah orang yang mula-mula mengembara ke seluruh dunia, pandangan popular menyatakan bahawa pemuda Melayu bernama Enrique de Malacca yang juga ditulis sebagai Panglima Awang; Awang Hitam; Commander Awang; Dato Laut Dalam; Henrique; Henry the Black atau Henricus Nigrum; sebagai perintis kepada pelayaran tersebut.

 

Sumbangan Panglima Awang jadi rebutan di antara tiga buah negara

Panglima Awang mempunyai sumbangan yang besar terhadap ketamadunan Melayu. Malahan, kisah beliau turut menjadi rebutan antara Malaysia, Indonesia dan Filipina berkenaan di mana sebenarnya tanah asalnya. Dalam jurnalnya, Antonio Pigafetta (warga Itali yang menyertai kru Magellan), menyatakan bahawa Awang berasal dari Sumatera dan tinggal di Melaka, manakala Transylvanus mendakwa beliau berasal dari Maluku. Sejarawan Filipina, Carlos Quirino menyatakan bahawa Awang atau Enrique berasal dari Filipina, kemudiannya berhijrah dari Luzon ataupun dijual sebagai hamba ke Melaka.

 

Penulis tersohor Malaysia, Harun Aminurrasyid, dalam karyanya, “Panglima Awang”, menyatakan bahawa Awang adalah berketurunan Melayu dari Tanah Melayu (Malaysia). Novel ini ditulis sekitar 1957 bagi membangkitkan semangat orang Melayu dalam perjuangan mendapatkan kemerdekaan, serta pasca merdeka.

 

Pada 15 Ogos 1511, selepas diserang secara bertubi-tubi selama tiga minggu oleh armada laut Portugis, Kesultanan Melayu Melaka akhirnya ditakluki oleh ‘Benggali Putih’ (Portugis). Awang mula menjadi hamba kepada Magellan apabila Portugis menguasai Melaka pada 1511. Beliau mengikutinya pulang ke Lisbon, dan menyertai Magellan dalam semua penjelajahannya, termasuk pelayaran dari tahun 1519 hingga 1521, yang dibiayai oleh Raja Sepanyol. Beliau turut digambarkan sebagai penterjemah serta pengiring kepada Magellan.

 

Awang dikatakan asalnya merupakan salah-seorang yang terlibat mempertahankan Kota Melaka, sebelum ditangkap Portugis dan dijadikan hamba. Dengan kemahirannya dalam bidang navigasi-pelayaran dan kemampuan berkomunikasi dalam bahasa Melayu, Awang menjadi orang kepercayaan Magellan, dan tidak lagi diikat kaki dan tangannya seperti hamba lain.

 

Panglima Awang menjadi orang kepercayaan Magellan

Selepas dituduh terlibat dengan salah guna kuasa, Magellan menawarkan khidmatnya kepada Raja Charles dari Sepanyol sejak 1517. Beliau berjaya meyakinkan Raja Charles setelah memperkenalkan Awang sebagai seorang yang fasih dengan bahasa tempatan dan pakar dalam memahami persekitaran Kepulauan Melayu Nusantara, sesuai dengan pengembaraan yang hendak mereka terokai itu.

 

Dengan kelengkapan armada serta kapal yang lengkap, mereka meninggalkan Sepanyol pada 20 September 1519, menyeberangi Lautan Atlantik, Amerika Selatan dan Pasifik. Awang yang diberi penghormatan untuk berada di kapal utama, memaklumkan Magellan untuk menghampiri Pulau Marianas pada Mac 1521, bagi mendapatkan bekalan dan peralatan, selepas mengharungi pelayaran selama 8 bulan yang disulami dengan kebuluran serta penyakit.

 

Kemudian, mereka menghampiri kawasan yang kini dikenali sebagai Filipina, dan Awang menjadi penterjemah antara pemimpin tempatan dan Magellan. Pada 7 April, ekspedisi tersebut menghampiri Pulau Cebu. Magellan menemui pemerintah Cebu, Raja Humabon, yang meminta Magellan untuk menghapuskan kumpulan pemberontak yang diketuai oleh pahlawan bernama Lapu Lapu. Serangan dilakukan pada 27 April.

 

Setelah kematian Magellan, Panglima Awang dijadikan hamba biasa semula

Bersama Armada Maluku yang diketuai oleh Ferdinand Magellan, beliau bersama Pigafetta menyerbu Pulau Cebu dan mengiringi Magellan dengan bersenjatakan ‘arquebes’ dan ‘crossbow’. Namun, Magellan dan majoriti kru kapalnya mati dalam pertempuran tersebut.

 

Menurut catatan Pigafetta, setelah kematian Magellan, Duarte Barbossa menjadi ketua ekspedisi, tetapi meletakkan kembali Awang sebagai hamba di dalam kapal itu, dan bukan orang kepercayaan ketua seperti sebelumnya. Ini menimbulkan rasa tidak puas hati kepada Awang, sehingga berpakat dengan Raja Humabon untuk melakukan helah bagi menyerang anak kapal Barbossa. Inilah kali terakhir catatan berkenaan Awang disebut dalam catatan.

Apabila Magellan terkorban dalam Pertempuran Mactan di Pulau Cebu pada 1521 ke tangan Lapu Lapu, dipercayai bahawa Awang menetap di sana, atau pulang ke Melaka atau Indonesia. Hal ini kerana nama Awang hilang daripada senarai kru Magellan yang pulang ke Sepanyol. Magellan meninggalkan Sepanyol dengan konvoi lima buah kapal dan 270 orang kelasi, namun hanya sebuah kapal dan 35 orang pelaut yang terselamat dan kembali ke Sepanyol. Kemampuan Panglima Awang yang memimpin pelayaran pertama ke Timur (Asia) melalui jalan pelayaran arah Barat, adalah berbeza dengan laluan yang biasa dilalui oleh orang Eropah. Mereka merentas Lautan Atlantik sehingga ke Lautan Pasifik untuk ke Asia.

 

SUMBER

#TMK

#Sejarah

 

All Right Reserved by The Melaka Kini  | Copyright @ 2019

Để lại một bình luận

Email của bạn sẽ không được hiển thị công khai. Các trường bắt buộc được đánh dấu *