INGIN merasai pengalaman menginap dalam bas terpakai yang diubahsuai dan dihias cantik umpama bilik hotel?
Atau ingin bersantai sambil makan minum yang anda dipesan dan disediakan dalam bas terpakai yang berfungsi sebagai dapur?
Jika anda belum pernah merasai suasana percutian seumpama itu dan ingin mencubanya, berkunjunglah ke Pantai Klebang, Melaka.
Pasti anda terpegun melibat bagaimana bas-bas lama dikitar semula secara kreatif, bukannya dimusnahkan begitu sahaja.
Hotel daripada bas terpakai yang dikenali sebagai ‘Bustel’, ini terletak di kawasan luas hanya beberapa meter dari jalan utama Pantai Klebang, serta berhampiran deretan gerai untuk menjamu selesa pelbagai juadah enak di situ.
Mungkin bilik hotel bas terpakai ini tidak sehebat hotel biasa.
Namun menginap di situ adalah pengalaman yang sukar dilupakan, khususnya bagi mereka yang suka mencuba sesuatu yang baharu.
Pantai Klebang, terletak kira-kira lapan kilometer dari Bandar Melaka, sememangnya menjadi tumpuan ramai sama ada pelancong dalam dan luar negara untuk bersantai di waktu petang.
Mereka datang bersama keluarga untuk menikmati keindahan suasana pantai. Pemandangan matahari terbenam dengan cahaya kuning kemerah-merahan memang sangat menarik dan indah dipandang, atau diabadikan dalam gambar.
Pada waktu petang biasanya air surut. Pantai yang luas berpasir menjadi tempat pengunjung bermain atau beriadah.
Ramai yang bermain layang-layang atau belon air (bubbles).
Selain itu, di kaki lima jalan pula disediakan laluan pejalan kaki yang diturap jubin, malahan ada juga yang berjoging dan berjalan santai sambil menghirup udara segar.
Apabila penat dan ingin berehat, deretan gerai yang menyajikan pelbagai jenis makanan dan minuman sedia menunggu untuk menghilangkan penat sambil menjamu selera.
Suasananya yang redup dan nyaman pada waktu petang, jauh dari hiruk pikuk Kota Melaka, menjelaskan kenapa Pantai Kelebang menjadi tumpuan saban hari, terutama pada hujung minggu atau waktu cuti.
#TMK #TMKTravel
All Right Reserved by The Melaka Kini | Copyright @ 2019