Peruntukan ADUN digunakan dalam pembersihan longkang besar Melaka Baru

AYER KEROH 15 Sept.- Prihatin dengan masalah isu longkang ‘tersumbat’ di sekitar kawasan Melaka Baru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee telah bertindak mengupah kontraktor pembersihan bagi menyelesaikan isu tersebut dengan menggunakan peruntukan khidmat masyarakat DUN tersebut.

Chee Yee menerusi kenyataan medianya hari ini menjelaskan walaupun kerja pembersihan longkang baru sahaja dilakukan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) beberapa minggu yang lalu namun masalah longkang tersumbat terus berlarutan, sekali gus menimbulkan kerisauan penduduk sekitar kawasan tersebut.

“Walaupun pembersihan longkang dilakukan oleh pihak JKR dari semasa ke semasa, longkang tersebut akan tersumbat lagi selepas tiga minggu.

“Justeru itu, saya mengambil inisiatif menggunakan peruntukan sendiri kerana khuatir akan berlaku banjir kilat lagi sebelum pihak JKR sempat melakukan pembersihan mengikut jadual,” katanya.

Ujarnya, pada 20 Mei lepas, beliau diiringi pihak JKR, Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) telah melawat ke Taman Seri Jati dan Kampung Sungai Putat yang sering dilanda banjir kilat.

Rentetan sesi lawatan tersebut, beliau mengarahkan satu jawatankuasa bertindak untuk mengkaji dan atasi masalah banjir kilat di kawasan tersebut ditubuhkan dan diketuai oleh pihak JKR.

Dalam laporan yang dihasilkan oleh jawatankuasa bertindak tersebut mendapati longkang besar Melaka Baru kerap kali tersumbat dan menyebabkan berlakunya banjir kilat di Taman Seri Jati dan Kampung Sungai Putat.

“Sebagai cara penyelesaian jangka masa pendek, pembersihan longkang besar tersebut dan longkang-longkang di dalam kawasan taman perumahan telah dilakukankan oleh jawatankuasa tersebut pada bulan Jun lepas.

“Rancangan pelan jangka masa pendek tersebut telah dibuktikan keberkesanannya kerana ia telah meningkatkan lagi kapasiti bagi menampung sistem aliran perparitan di sekitar Taman Seri Jati dan Kampung Sungai Putat.

“Kebiasaannya, banjir kilat berlaku selepas 45 minit hujan sederhana lebat. Selepas pembersihan longkang tersebut dilakukan, banjir kilat tidak berlaku di kawasan-kawasan tersebut walaupun hujan sederhana lebat selama 2 jam,” jelasnya.

Katanya, kini beliau dalam proses perbincangan dengan pihak MPHTJ dan JKR supaya meningkatkan kekerapan pembersihan longkang tersebut bagi mengelakkan banjir kilat.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah sewenangnya kerana ia akan mengakibatkan kesusahan kepada penduduk lain.

“Kesedaran ini amat penting supaya rakyat memahami peranan pihak kerajaan dalam mengatasi masalah banjir kilat dan tidak hanya menyalahkan agensi-agensi kerajaan apabila banjir kilat berlaku,” tambahnya.

Sumber- MelakaKini.my

Để lại một bình luận

Email của bạn sẽ không được hiển thị công khai. Các trường bắt buộc được đánh dấu *