Salasilah Hang Tuah usah disanggah

HANG Tuah ‘tidak wujud’? Kewujudannya perlu dibuktikan melalui ujian DNA atau hanyalah sebuah hikayat yang dianggap cerita dongeng purbakala. Demikian menurut Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim selaku profesor Jabatan Sejarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM).

Kenyataan beliau telah menimbulkan kegemparan masyarakat dan mencetuskan polemik dalam kalangan ilmuwan, ahli akademik dan sejarawan tanah air di pelbagai media massa buat beberapa ketika dahulu.

Begitu juga Prof. Emeritus Dr. Ahmad Adam seorang Penyelidik dan Karyawan Tamu di UM turut menafikan kewujudan Laksamana Hang Tuah yang menjadi legenda pada sekitar abad ke-15 semasa pemerintahan Kesultanan Melaka bersama empat saudaranya iaitu Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Kasturi dan Hang Lekiu. Lebih tepat, Hang Tuah dianggap sebagai ‘watak fiksyen’ di dalam mitos klasik Hikayat Hang Tuah yang ada persamaan dengan cerita-cerita panji Jawa Kuno seperti Hikayat Cekel Wanengpati dan Hikayat Panji Semirang.

Turut menyokong bahawa Hang Tuah hanyalah sekedar ‘tokoh’ di dalam naskhah Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah ialah Felo Penyelidik Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya, Prof. Dr. Henri Chambert Loir. Tetapi, dari sudut pensejarahan, naskhah klasik berkenaan penting dalam konteks antropologi dan sosiologi kepada generasi muda masa kini.

Polemik kewujudan Hang Tuah turut dirumitkan lagi apabila timbul dilema berkaitan nama sebenar Hang Tuah; sama ada Hang Tuah atau Hang Tuha. Perkara ini ditimbulkan oleh Prof. Emeritus Dr. Ahmad Adam, sewaktu melancarkan Sulalatus Salatin yang telah dialih-aksaranya daripada naskhah milik Krunsenstern di program anjuran Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka tidak berapa lama dahulu.

Namun, tulisan ini tidak bermaksud mahu memanjangkan perkara tersebut di sini. Sebaliknya bertujuan melaporkan penemuan-penemuan berupa bahan bukti yang menyokong kewujudan seorang yang bernama Hang Tuah di zaman Kesultanan Melaka.

Bagaimana pun, pandangan dan kenyataan ketiga-tiga profesor tersebut disanggah oleh beberapa ilmuwan, ahli akademik dan para sejarawan seperti Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP), Prof. Datuk Dr. Mohd Jamil Mukmin, Setiausaha Persatuan Sejarah Malaysia mewakili IKSEP, Jamil Kamaruddin, Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia, Tan Sri Mohd Ali Rustam, Ahli Jawatankuasa Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio-budaya Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Abdul Latif Abu Bakar, Pensyarah Kesusasteraan dan Ombudsman USM, Prof. Datuk Seri Dr. Md Salleh Yaapar, Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM, Prof. Emeritus Dr. Hashim Musa, Dr. Rohaidah Kamaruddin, UPM dan Sejarawan, Abdul Rahman Ismail.

Mereka semua bersepakat dan bersependapat bahawa manusia pemberani bergelar Hang Tuah memang wujud. Hang Tuah sudah sinonim sebagai Wira Melayu Dunia, terkenal sebagai Laksamana Panglima Angkatan Laut dan pegawai peribadi Sultan, juga sebagai utusan dan duta pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Hang Tuah telah berkhidmat dengan tiga sultan iaitu Sultan Mansur Syah (145 hingga 1477), Sultan Alaudin Riayat Syah (1477 hingga 1488) dan Sultan Mahmud Syah (1488 hingga 1411). Kewujudan pahlawan tersohor tersebut dibuktikan melalui sumber-sumber data primer yang disokong juga oleh data-data sekunder, sekali gus menafikan dakwaan pihak yang mempertikaikan kewujudannya.

Begitu juga kedudukan Hang Tuah dalam peradaban Melayu sentiasa tersemat di hati dan beliau adalah ikon terunggul yang sering mendapat perhatian bukan sahaja di negara ini, bahkan seluruh pelusuk benua.

Fakta-fakta berkaitan diperolehi melalui beberapa buku-buku dan turut disebut oleh para sarjana sejarah Indonesia, Brunei, Singapura, Filipina, Thailand, China, Jepun, Inggeris, Belanda, Sepanyol dan Russia.

Dampak bestari

Sementara itu, Exco Majlis Profesor Malaysia, Prof. Teo Kok Seong, UPM turut memberikan pandangan. Beliau menegaskan bahawa watak Hang Tuah tidak ketara bersifat perkauman dan mewakili semua bangsa, perlu diikuti oleh rakyat negara ini sebagai contoh hidup dengan harmoni walaupun berlainan keturunan dan budaya.

Hang Tuah selaku ikon rumpun Melayu, Malaysia dan Indonesia perlu terus diiktiraf, dijulang sebagai citra negara dalam bentuk konsepsi dan figuranya untuk dampak bestarinya, khususnya dalam pembentukan perwatakan kebangsaan.

Sebagai perbandingan, cuba ambil contoh kisah kegagahan dan kebijaksanaan King Arthur of Camelot yang muncul di awal abad ke-6, dan telah mengetuai tentera Britain memerangi kaum Saxon. Tetapi, adakah King Arthur watak yang wujud atau hanya seorang wira mitos Celtic?

Begitu juga dengan cerita wira pembela rakyat tertindas bernama Robin Hood yang kononnya pengikut setia King Arthur. Beliau hidup di sekitaran akhir abad ke-16 dan dianggap anti-pemerintah dengan merompak tuan tanah yang kaya dan membunuh wakil kerajaan. Seperti King Arthur, kewujudan Robin Hood turut dipersoalkan. Perbahasan dan perbalahan di antara para sejarawan di dalam dan di luar Britain berlangsung berabad-abad lamanya sehingga kini.

Suatu persefahaman mengenai kesahihan akan kewujudan King Arthur ataupun Robin Hood masih belum diperolehi. Walaupun sejarah hidup kedua-dua wira mitos ini sudah difilemkan dalam pelbagai versi dan mendapat sambutan luar biasa di seluruh dunia, tetapi tanpa bukti kukuh, kebenaran kewujudan mereka masih dianggap misteri.

Demikian untuk mengambil iktibar, kita dikira lebih bernasib baik kerana buku berjudul, Hang Tuah – Catatan Okinawa terbitan UPM Press, 2015 telah membuka kembali tirai masa silam berkaitan kewujudan Hang Tuah. Misteri yang menyelubungi kesekian waktu kini kembali dirungkai satu persatu dengan menggunakan catatan-catatan primer yang berupa surat-menyurat; di antara kerajaan Melaka dengan kerajaan Empayar Ryukyu.

Sejarah akan sentiasa berubah dan merobah situasi kehidupan manusia. Usaha-usaha yang dijalankan oleh Prof. Emeritus Dr. Hashim Musa dan Dr. Rohaidah Kamaruddin menunjukkan kegigihan mereka menelusuri setiap ruang sempit dan menggunakan pelbagai peluang sulit yang terbuka sewaktu menjejaki bukti primer tersebut yang terdapat di Okinawa, Jepun.

Penyelidikan mereka adalah mengenal pasti Hang Tuah yang dilahirkan pada tahun 1431 dan mengesahkan kewujudannya melalui kajian empairikal yang kali pertama menggunakan sumber dan artifak luar negara, berbanding karya tempatan seperti Hikayat Hang Tuah.

Terdapat empat dokumen asing yang merupakan sumber primer yang membuktikan kewujudan Hang Tuah iaitu Dokumen Rasmi Rekidai Hoan Kerajaan Ryukyu – ‘Ryukyuan Relations with Korea and South Sea Countries’, ‘The Commentaries of the Great Alfonso Dalboquerque: Second Viceroy of India, Vol. 1-4’, Dokumen Ming Shi (Sejarah Dinasti Ming), 1403 dan Dokumen Catatan Xin Fei (terj.J.V.G.Mills), 1385-1436.

Ditambah penemuan awal sebilah keris berlok sembilan tanpa hulu dan sarung yang dijumpai di perkarangan Kuil Diraja Enkakuji Ryukyu berhampiran dengan istana Shuriji abad ke-15, Pulau Ryukyu. Berita mengenai keris tersebut di Internet telah menarik perhatian Dr. Rohaidah (pengkhusus bahasa Jepun dan psikolinguistik) yang seterusnya mencari dan mengumpul pelbagai manuskrip berkaitan dan dibukukan sebagai bahan rujukan terpenting dan dijadikan khazanah negara paling berharga.

Semoga ada usaha-usaha seterusnya oleh para sarjana dan sejarawan tempatan untuk turut membantu menambah mana-mana data dan fakta yang dapat mengukuhkan lagi kewujudan seorang Hang Tuah sebagai legenda dan lambang keperwiraan Melayu.

Sebagai penutup, marilah direnung-fikirkan ‘Watak Hang Tuah Dalam Masyarakat Melayu’ berikut:

…Hang Tuah menghuni dan menyerlah dalam dunia yang lebih besar dan orang Melayu memakai bukan sahaja wajah terhormat tetapi juga pintar, berkebolehan, menguasai persoalan di mana pun dia berada, berilmu – mengenali budaya dan bangsa yang dikunjunginya secara akrab.

(Muhammad Haji Salleh, 2003:4)

Oleh itu, kita wajar dalam sedar menerima kerja kreatif pengarang Melayu tradisional zaman dahulukala yang dapat melihat masa depan melalui tilik firasat. Pengarang ini berjaya mengangkat dan menjadikan watak protogonis seorang Hang Tuah sebagai satu replika hidup dan wujud membantu memperkasakan keagungan kerajaan Melaka pada abad ke 15 Masehi.

Hang Tuah dikatakan berdarah Bugis berpangkat laksamana laut menjadi kebangaan seluruh wilayah kepulauan Melayu dan nusantara dunia. Kesimpulannya, penemuan-penemuan baru dan terkini seperti Catatan Okinawa ini boleh dianggap sebagai tulen dan kukuh sandarannya untuk mengangkat kembali martabat seorang Hang Tuah sebagai legenda unggul panglima dan laksamana Melayu yang sememangnya hidup dan wujud di zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Semangatnya bersenyawa dalam jiwa kita melalui, kalimat keramat ‘Tak Melayu Hilang Di Dunia’. Keramatnya kata-kata tersebut akan menjadi teras jati diri bangsa Melayu yang berbudi pekerti dan berperadaban tinggi.

 

SUMBER

 

 

#TMK

#Sejarah

 

All Right Reserved by The Melaka Kini  | Copyright @ 2019

Trả lời

Email của bạn sẽ không được hiển thị công khai. Các trường bắt buộc được đánh dấu *