Sekolah paling sepi di Melaka, hanya 30 pelajar sahaja..

SUNYI…sepi…Itulah yang terlintas di fikiran saat kali pertama menjejakkan kaki ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Jerneh yang terletak di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, Masjid Tanah.

Tidak seperti kebanyakan sekolah lain yang riuh dengan suara murid, suasana sekolah ini nyata berbeza apabila ia seolah-olah hampir tidak berpenghuni.

Tinjauan MelakaKini baru-baru ini mendapati hanya kira-kira 30 pelajar yang bersekolah di sekolah ini, sekali gus menimbulkan persoalan apa sebenarnya yang telah berlaku?

Persoalan demi persoalan ini telah membawa penulis bertemu sendiri dengan Penyelaras DUN Ayer Limau, Datuk Seri Ruslin Hasan.

Ruslin yang ditemui ketika sesi lawatan Ketua Menteri ke DUN Ayer Limau mengakui SK Sungai Jerneh sememangnya sudah lama dibelenggu dengan masalah kekurangan murid.

Menurutnya, bagi sesi persekolahan 2019, hanya terdapat 39 murid yang mendaftar di sekolah ini.

39? Ya, jumlah itu merupakan keseluruhan murid di sekolah ini, dari pra sekolah hinggalah darjah 6!

Jumlah yang kebiasaannya untuk satu kelas biasa sahaja…

Jelas Ruslin, ia berpunca daripada kebanyakan anak-anak kampung ini telah berpindah ke kawasan bandar dan taman perumahan berhampiran seperti di Lubok China.

Disebabkan itu, kebanyakan ibu bapa memilih sekolah berhampiran untuk menghantar anak-anak mereka, sekali gus membuatkan sekolah di Sungai Jerneh mengalami pengurangan murid.

“Penduduk di sini sukar bertambah disebabkan kurangnya kemudahan di kawasan ini, sekali gus membuatkan ramai memilih untuk berhijrah ke kawasan yang mempunyai banyak kemudahan seperti di Lubok China.

“Selain itu, ibu bapa dari kampung Felcra Ramuan China pula lebih memilih untuk menghantar anak mereka ke SK Ramuan China Kecil berbanding SK Sungai Jerneh walaupun kedudukan SK Sungai Jerneh lebih hampir dari kawasan rumah mereka.

“Difahamkan, ia kerana keadaan jalan yang menghubungkan kampung ini terlalu kecil dan berbahaya, membuatkan mereka memilih jalan yang lebih selamat untuk menghantar anak mereka ke sekolah,” katanya.

TERPAKSA BERCAMPUR KELAS

Ruslin berkata, isu kekurangan murid di sekolah ini telah berlarutan sejak bertahun yang lalu yang mana bilangan pelajar secara keseluruhan kebiasaannya dalam anggaran 30 ke 40 orang sahaja setiap tahun.

Bagaimanapun, jelasnya, situasi itu mencetuskan kebimbangan kerana murid-murid yang ada ini terpaksa dicampurkan dalam satu kelas yang sama, biar pun berbeza tahap.

“Saya diberitahu murid darjah 2 dan 3 digabungkan dalam satu kelas, begitu juga murid darjah 4 dan 5. Mengikut rekod, hanya murid darjah 1 dan 6 sahaja yang diasingkan dalam kelas sendiri.

“Jadi, di sini timbul kebimbangan bagaimana murid-murid ini mahu belajar mengikut tahap sebenar mereka jika dicampurkan dalam satu kelas dan diajar subjek yang sama,” soalnya.

Ruslin secara berseloroh menambah, situasi yang berlaku di SK Sungai Jerneh ini bolehlah diibaratkan seperti guru lebih ramai dari murid.

Oleh sebab itu, guru-guru di sini sangat berharap agar ibu bapa yang tinggal berhampiran untuk mendaftar anak mereka bersekolah di sini, sekali gus menambahkan bilangan murid di SK Sungai Jerneh.

HAMPIR BERKUBUR

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Jerneh, Muhammad Zaidil Fitri Sabtu, SK Sungai Jerneh berkata, sekolah ini pernah dikhabarkan akan ditutup disebabkan isu kekurangan murid.

Jelasnya, ia berikutan isu itu telah banyak kali dibawa ke pengetahuan Jabatan Pendidikan negeri untuk diselesaikan.

“Namun, perkara itu (tutup sekolah) tidak diteruskan kerana ada tentangan dan telah mendapat sokongan daripada Ketua Kampung yang mahu ia dikekalkan,” katanya.

Di sebalik isu dan permasalahan yang berlaku ini, pencapaian SK Sungai Jerneh dalam bidang akademik bolehlah dikatakan berada pada tahap membanggakan.

Menurut Zaidil, meskipun hanya memiliki enam calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sahaja tahun lalu, masih terdapat seorang murid memperoleh keputusan semua A.

“Walaupun murid kurang, pencapaian akademik tidaklah terlalu terjejas. Selain, seorang pelajar mendapat 5A, ada seorang lagi mendapat keputusan 4A yang mana itu sudah cukup membanggakan,” katanya.

Bagaimanapun, jelasnya bilangan murid yang mengambil UPSR untuk tahun ini berkurang menjadi lima murid sahaja.

PEMBINAAN BANDAR BAHARU JADI JALAN PENYELESAIAN

Bagi menangani isu SK Sungai Jerneh itu, difahamkan hanya ada satu jalan penyelesaian yang dapat membantu untuk menambahkan kembali bilangan murid sekolah terbabit.

Ruslin berkata, satu jalan yang dapat dilihat untuk tempoh masa panjang ialah pembinaan bandar baharu di sekitar kawasan Sungai Jerneh atau kawasan berhampiran.

Menurutnya, perkara ini telah dicadangkan kepada Ketua Menteri, Adly Zahari ketika sesi lawatan ke DUN Ayer Limau, baru-baru ini.

Jelas Ruslin, cadangan membangunkan satu bandar baharu atau pusat bandar berhampiran tanah Felcra di Sungai Jerneh ini sangat relevan bukan sahaja untuk membantu pertambahan penduduk, bahkan juga baik untuk kawasan Parlimen Masjid Tanah yang kini dalam fasa pembangunan.

“Tidak kiralah bandar besar atau kecil sekali pun, ia perlu ada di kawasan ini yang mana dari bandar baharu itu ia perlu dibina pelbagai kemudahan seperti balai polis, pejabat pos, taman perumahan dan lain-lain lagi.

“Orang-orang muda sekarang tak mahu duduk di kampung, mereka nak duduk kawasan taman yang ada perparitan, ada kutipan sampah berjadual dan kemudahan-kemudahan lain yang memudahkan mereka.

“Selain itu, kewujudan bandar baharu ini juga penting kerana kawasan ini tidak jauh dengan pembangunan seperti Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP). Jika dari plaza tol Simpang Ampat, untuk ke Kuala Linggi, ia akan melalui kawasan Sungai Jerneh.

“Jadi, ia adalah sangat relevan untuk dibangunkan bandar baharu kerana kawasan ini akan bertambah sibuk pada masa akan datang,” katanya.

Selain bandar baharu, Ruslin juga berharap diwujudkan satu tempat riadah di kawasan Sungai Jerneh untuk menggalakkan lagi kemajuan di kawasan ini.

“Dengan adanya bandar baharu dan kemudahan yang banyak, secara tak langsung ia akan meningkatkan pertambahan penduduk, sekali gus menghidupkan kembali SK Sungai Jerneh yang dibelenggu kekurangan murid ini.

“Diharap kerajaan negeri dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dapat meneliti cadangan ini demi kemajuan negeri Melaka yang kita cintai,” katanya lagi.

Sumber – MHI

Để lại một bình luận

Email của bạn sẽ không được hiển thị công khai. Các trường bắt buộc được đánh dấu *