JOHOR BAHRU : Polis Johor menumpaskan sindiket penipuan pembelian pakej telefon bimbit yang mengaut untung sebanyak RM8.6 juta hasil memperdayakan syarikat telco di negeri ini.
Sasaran sindiket yang beroperasi sejak awal tahun ini menyasarkan syarikat telco yang menawarkan pembelian pakej beserta telefon bimbit dengan menggunakan dokumen palsu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sindiket penipuan itu akhirnya tumpas setelah 14 orang ahli sindiket dan pemilik keldai akaun ditahan dalam beberapa siri serbuan di sekitar negeri ini pada 1 September lalu.
Beliau berkata, dalam serbuan bermula 12.30 tengah hari sehingga 11.30 malam itu, polis menahan 10 lelaki dan empat wanita tempatan berusia lingkungan 19 hingga 38 tahun.
Katanya, modus operandi sindiket tersebut adalah dengan menggunakan nama pemilik keldai akaun bagi mendaftar talian telco yang menawarkan pakej talian beserta telefon bimbit.
Tambahnya, sindiket turut menggunakan dokumen palsu seperti penyata gaji dan surat pengesahan majikan yang dikeluarkan oleh sindiket terbabit bagi mengaburi pihak telco yang disasarkan.
“Setelah pendaftaran dan identiti pemilik keldai akaun disahkan oleh pihak telco, sindiket akan membuat pembayaran dengan menggunakan kad kredit milik individu lain.
“Telefon bimbit yang sudah didaftarkan akan diserahkan kepada ejen untuk diserahkan kepada ahli sindiket sebelum dijual ke pasaran luar negara.
“Bagi setiap transaksi yang berjaya dilakukan, pemilik keldai akaun akan terima komisyen sebanyak RM350 manakala ejen yang berjaya mendapatkan khidmat pemilik keldai akaun itu akan menerima bayaran RM150,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, pihak telco mula menyedari bahawa mereka menjadi mangsa penipuan setelah usaha pembayaran melalui kad kredit yang didaftarkan sewaktu pembelian pakej ditolak oleh pihak bank.
Katanya, hasil siasatan dan semakan dengan pihak telco yang terbabit mengesahkan mereka alami kerugian sebanyak RM8.6 juta.
“Ini adalah pertama kali sindiket penipuan membabitkan pembelian pakej telefon bimbit diberkas. Kita masih meneruskan siasatan bagi mengesan saki-baki ahli sindiket dan rangkaian mereka.
“Dalang sindiket tersebut iaitu Tan Boon Han yang berusia 38 tahun beralamat di Jalan Tropika Diawan, Kapar, Perak turut menjadi buruan. Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis terdekat,” katanya.
Katanya, kesemua suspek yang diberkas telah ditahan reman bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sebarang maklumat bersabit kes penipuan boleh disalurkan kepada Pegawai Risikan atau Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor, Asisten Superintenden Timmy Anak Aheng di talian 019-777 3728. -UTUSAN ONLINE