PERKHIDMATAN PENERBANGAN BELON UDARA PANAS SECARA KOMERSIAL DI NEGERI MELAKA OLEH SYARIKAT MYBALLOON ADVENTURE SDN BHD
Sejak tahun 2015, Myballoon Adventure Sdn Bhd (MBA) menawarkan perkhidmatan penerbangan belon udara panas secara komersial di UPM Serdang, satu kawasan antara Kuala Lumpur dan Putrajaya. Ia telah menarik ramai pelancong dari dalam dan luar negara untuk menikmati perkhidmatan ini. Pada tahun 2018, MBA menerbangkan seramai 480 pelancong dari 30 buah negara.
MBA berminat untuk menawarkan perkhidmatan ini di negeri Melaka. Keunikan Bandar Melaka dan lokasi yang tidak jauh dari Kuala Lumpur dijangka akan menarik lebih ramai pelancong untuk menikmati perkhidmatan ini. Perkhidmatan penerbangan belon udara panas ini boleh menjadi tarikan yang baru di mana para pelancong berpeluang untuk menikmati pemandangan negeri Melaka dari udara. Kerajaan Negeri menyokong program ini dan diharapkan ianya dapat membantu Kerajaan Negeri mencapai sasaran 20 juta orang pelancong ke Melaka bersempena Tahun Melawat Melaka 2019.
Pada hari ini, MBA membuat penerbangan percubaan (test flight) untuk menentukan kesesuaian kawasan perkhidmatan belon udara panas demi keselamatan penumpang-penumpang. Ianya akan bermula dari Stadium Hang Jebat dan berdasarkan arah angin jam 7.00 pagi, belon ini dijangka akan terbang ke arah Klebang yang terdapat banyak kawasan lapang untuk belon mendarat dengan selamat. Walaubagaimanapun, pihak MBA masih memerlukan beberapa percubaan (test flight) lagi sebelum bersedia untuk melancarkan produk tarikan pelancongan ini dalam waktu terdekat kepada orang ramai khasnya untuk rakyat Melaka. Dalam hubungan ini, Kerajaan Negeri dan pihak syarikat sangat menitik beratkan keselamatan para penumpang yang bakal menggunakan perkhidmatan ini kelak.
UNIT PERANCANG EKONOMI NEGERI
20 APRIL 2019
? Unit Perancang Ekonomi Negeri Melaka , FB Irman Ismail & Muhammad Khairi Bin Ismail
Kredit- Tourism Melaka