TIADA TAHFIZ DIHALAU ATAU DITUTUP. TAHFIZ RABIATUL ADAWIAH LEBIH SELESA DAN SELAMAT SEKARANG.
Baru-baru ini Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) telah membantu memindahkan Maahad Tahfiz Rabiatul Adawiyah di Empangan Durian Tunggal ke tempat yang lebih selesa dan selamat iaitu di Taman Rumahku Syurgaku Bukit Katil.
Pemindahan maahad tahfiz ini adalah selaras dengan peraturan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di mana kawasan empangan merupakan kawasan keselamatan penting yang mesti dipastikan selamat dari pencemaran.
Badan Kawal Selia Air (BKSA) iaitu pihak yang bertanggungjawab terhadap Empangan Durian Tunggal ini mesti memastikan kawasan ini yang menjadi sumber air rakyat Melaka mesti selamat dari sebarang pencemaran.
Notis perpindahan telah dikeluarkan beberapa tahun lalu. Namun atas budibicara Badan Kawal Selia Air (BKSA) Maahad Tahfiz dibenarkan terus beroperasi di empangan ini sehingga awal 2019 ini.
Kita mengucapkan berbanyak terima kasih kepada BKSA atas budi bicara tersebut dan pada masa yang sama berusaha memastikan kawasan ini selamat dari pencemaran.
MAIM telah mengambil tindakan atas dasar tanggungjawab menjaga syiar Islam dan institusi tahfiz di negeri ini dengan mencari tempat yang lebih selamat dan selesa untuk dijadikan pusat pengajian bagi Madrasah Tahfiz Rabiatul Adawiyah ini.
Hasil perbincangan antara pihak maahad tahfiz dan beberapa pihak berkaitan, satu persetujuan telah dicapai untuk memindahkan Maahad Tahfiz Rabiatul Adawiyah ini ke Taman Rumahku Syurgaku (RKSK) kepunyaan MAIM. Di Taman RKSK ini terjamin segala kemudahan asas seperti air dan elektrik serta turut disediakan kawalan keselamatan 24 jam.
MAIM menyediakan 20 buah rumah, surau dan balai raya untuk kegunaan maahad tahfiz ini bagi memberikan keselesaan kepada mereka. Kawasan ini yang redup, hijau dan jauh sedikit dari kesibukan kenderaan adalah amat sesuai dijadikan tempat pengajian.
Dari lawatan saya semalam saya dapat merasakan bahawa para pelajar gembira dan telah dapat menyesuaikan diri dengan tempat baru ini. Mereka juga dilihat mengadakan kegiatan sukan dan permainan ‘outdoor’. – Sofi Wahab
Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada urusetia MAIM yang bertungkus lumus menjayakan urusan pemindahan baru-baru ini serta jutaan terima kasih kepada agensi yang terlibat dalam membantu memudahkan permindahan tersebut dengan mengeluarkan aset untuk urusan mengangkut barang dan pelajar-pelajar maahad tahfiz. Agensi yang turut terlibat adalah daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Alor Gajah, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Jabatan Ketua Menteri Melaka dan juga pihak sukarelawan daripada Amal Relief (Arif).
Semoga dengan pemindahan ke tempat yang lebih baik ini mampu meningkatkan semangat dan kesungguhan para pelajar Maahad Tahfiz Rabiatul Adawiyah untuk menghafaz Al-Quran dan seterusnya menjadi huffaz yang kembali berbakti kepada ummah.
Kerajaan negeri melalui MAIM dan pelbagai agensi lain sentiasa komited dalam usaha memperkasa institusi-institusi Islam di negeri Melaka dan berusaha membantu semua pihak yang memerlukan dalam usaha mempertingkatkan syiar Islam di negeri ini.
Sumber : YB Sofi Wahab
__________
©Copyright The Melaka Kini 2019