Kisah rumah demang berusia 187 tahun di Merlimau (Rumah Tanpa Paku)
Sumber : Bernama
Ketika duduk di beranda sambil menikmati secangkir teh, harum bunga cempaka dan tanjung yang segar mewangi pada pagi hari membuatkan Prof Dr Noor Hassim Ismail terkenang zaman kanak-kanaknya, sewaktu membesar di rumah pusaka keluarganya di Merlimau, Jasin, di Melaka.
Suatu ketika dahulu, rumah pusaka berusia 187 tahun yang terletak kira-kira 23 kilometer dari pusat bandar Melaka itu dikelilingi pelbagai pokok bunga, yang harum mewangi tatkala disapa angin.
Walaupun telah empat dekad berhijrah ke ibu kota, Dr Noor Hassim, 63, masih terkenangkan kenangan silam sewaktu bermain dengan rakan-rakan di tepi kolam di hadapan rumah pusaka milik datuknya itu.
Datuknya, Abdul Ghani Abdul Majid yang lebih dikenali sebagai Demang Abdul Ghani, adalah penghulu yang amat dihormati di sekitar pekan Merlimau.
Rumah tradisional itu dibina oleh Demang Abdul Ghani pada 1831 di tanah seluas 0.4 hektar sebelum beliau dilantik menjadi penghulu pada 1834, menggantikan bapanya Abdul Majid, seorang hartawan berketurunan Palembang – juga tokoh yang membuka kawasan penempatan di Merlimau.
Rumah itu dijadikan Galeri Demang Abdul Ghani pada 2011 oleh Kerajaan Negeri Melaka melalui Perbadanan Muzium Melaka (Perzim). Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengisytiharkannya sebagai Warisan Kebangsaan 2018 pada 17 Okt lepas.
Rumah tanpa paku
“Terlalu banyak kenangan indah di rumah lama ini, namun rumah ini bukanlah satu-satunya yang dibina arwah datuk (Abdul Ghani) di kawasan ini, malah ada dua rumah lagi. Ketiga-tiganya mempunyai nilai estetika yang tinggi, namun atas faktor-faktor tertentu hanya rumah ini yang kekal hingga sekarang,” kata Dr Noor Hassim yang kini bertugas sebagai Pensyarah di Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, kepada Bernama.
Menurut beliau, pada zaman dahulu, rumah Demang Abdul Ghani sering digunakan sebagai tempat perjumpaan bagi membincangkan hal ehwal masyarakat.
Dipercayai tiga generasi pernah mendiami rumah itu ketika memegang jawatan sebagai penghulu iaitu moyangnya, Abdul Majid; datuknya Abdul Ghani dan bapa saudaranya Md Nattar Abdul Ghani.
Rumah tradisional bercirikan seni bina Cina itu menggunakan kayu bermutu tinggi seperti merbau, cengal serta jati dan tidak menggunakan sebarang paku sebaliknya dipasak dan ditanggam kemas, jadi tidak hairanlah jika ia masih tersergam kukuh walaupun sudah berusia lebih seratus tahun.
Menurut Dr Noor Hassim, pelbagai ukiran pada rumah itu yang bermotifkan flora dan fauna mempunyai maksud yang tersirat selain mempunyai unsur kebudayaan Cina seperti ‘Ang Ling’ iaitu Naga Merah dikaitkan dengan kekayaan dan kekuasaan manakala ‘Eng Ling’ iaitu Naga Emas dikaitkan dengan kawalan dan perlindungan.
‘Raja kecil’
Bercerita lanjut, Dr Noor Hassim berkata arwah ibunya, Asnah Abdul Ghani, pernah memberitahu bahawa rumah itu bukan sahaja dibina oleh tukang Melayu malah turut menggunakan khidmat tukang Cina.
Buktinya, suatu ketika dahulu di rumah itu terdapat beberapa bantal tidur seramik. Masyarakat Cina dahulu menggunakan seramik sebagai bantal. Selepas bertukang mereka menggunakan bantal berkenaan untuk beristirehat.
“Sebab itulah jelas dapat dilihat rumah ini mempunyai pengaruh seni bina gabungan kedua-dua masyarakat yang menghasilkan seni bina yang indah,” katanya yang dilahirkan di rumah itu, namun kini menetap di Kajang dengan isterinya, Fauziah Md Som, 62. Mereka mempunyai empat orang anak berusia antara 28 dan 38 tahun.
Rumah itu mempunyai enam ruang utama itu iaitu balai penghadapan, serambi, rumah ibu, bilik tidur utama, rumah tengah dan dapur.
“Difahamkan datuk menerima tetamu dan berbincang masalah penduduk setempat di bahagian balai penghadapan atau anjung rumah,” jelas Dr Noor Hassim lalu menambah bahawa di rumah ibu terdapat satu tangga untuk naik ke loteng, yang dikhaskan untuk kegunaan kaum wanita.
Dahulu kala, demang adalah ketua kepada para penghulu di sesuatu kawasan dan seorang demang juga berhak mengutip cukai daripada penduduk setempat bagi pihak pemerintah, selain diberi kepercayaan menyelesaikan pelbagai masalah penduduk.
“Sebab itulah Demang atau Penghulu amat dihormati, malah dianggap sebagai ‘raja kecil’. Jawatan penghulu kebiasaannya dilantik berdasarkan ketokohannya serta disenangi oleh masyarakat dan diputuskan oleh Sultan,” tambah beliau.
Baik pulih kerosakan
Bercerita mengenai personaliti datuknya, Dr Noor Hassim berkata menurut ibunya, meskipun Abdul Ghani adalah seorang yang tegas dalam membuat keputusan namun datuknya itu adalah seorang bapa yang penyayang.
“Dalam apa jua perkara yang dilakukannya, dia punya pendirian iaitu ‘Berhemah cara orang Melayu, berbincang cara orang Inggeris’ dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pemimpin,” tambahnya.
Beliau sangat bersyukur kerana rumah datuknya itu dijadikan sebagai galeri serta salah satu daripada produk pelancongan bagi negeri ini.
“Kami amat berterima kasih kepada kerajaan negeri Melaka, Jabatan Warisan serta Perzim di atas inisiatif membaik pulih segala kerosakan rumah itu.
“Kami berharap kerajaan negeri Melaka akan teruskan mengurus rumah ini dan kekal sebagai warisan kebangsaan, sekurang-kurangnya rumah ini akan terus teguh berdiri untuk tatapan generasi masa depan,” katanya.
Menurut Dr Noor Hassim memorandum persefahaman antara keluarganya dan Perzim bagi menjadikan rumah datuknya itu sebagai galeri dijangka akan tamat pada hujung tahun ini.
Pada 2006, Rumah Demang Abdul Ghani didaftar menggunakan nama Penghulu Md Nattar sebagai bangunan Warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) bagi tujuan perlindungan kepada khazanah warisan negara itu.
Demi memastikan rumah tradisonal itu terus terpelihara, Kerajaan Negeri Melaka melalui Perzim mengambil alih dan menjadikan rumah pusaka itu sebagai galeri pada 2011, seterusnya dirasmikan sebagai Galeri Demang Abdul Ghani pada 2012.
Galeri Demang Abdul Ghani diisytihar sebagai Warisan Kebangsaan.
Disunting oleh Sarimah Othman
Kredit Bernama