Peruntukan RM1.4 juta, Melaka sediakan lampin dewasa percuma

AYER KEROH 17 Jan. – Melaka memperuntukkan RM1.4 juta dana bagi menyediakan lampin pakai buang warga emas yang akan diagihkan melalui Pejabat Daerah.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, kerajaan memperuntukkan RM650,000 diikuti, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) yang menyumbang RM200,000, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) RM400,000 dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), RM150,000.

“Bantuan ini akan diselaraskan Exco Wanita, Kebajikan dan Pembangunan Luar Bandar, Ginie Lim Siew Lin bagi membantu menyelesaikan isu perkhidmatan kepada warga emas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Seri Negeri, hari ini.

Dalam pada itu, Adly turut memberitahu kerajaan negeri bersetuju menubuhkan dana harta Bumiputera bersama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) untuk memperkasakan dan melindungi kepentingan aset dan tanah milik Bumiputera di negeri ini.

Katanya, perkara itu sudah dipersetujui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan sedang memuktamadkan terma bagi mewujudkan dana ini melibatkan pelaksanaan dan pengurusan aset.

“Dana harta Bumiputera ini akan dipengerusikan Pengarah PTG, Datuk Zaidi Johari dan beliau akan memuktamadkan pelaksanaannya.

“Kerajaan negeri sudah bersetuju dana itu diperlukan bagi menjaga kepentingan dan memastikan harta dan aset Bumiputera dapat dikembangkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Adly turut memberitahu kerajaan negeri turut bersetuju membayar caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi tahun 2019 kepada 1,036 pemandu kereta sewa dan teksi.

“Bayaran berjumlah RM160 seorang itu melibatkan sejumlah kos RM30,000 untuk dibayar kepada pemandu teksi dan kereta sewa bagi tahun 2019,” katanya.

Sementara itu, Adly turut menetapkan harga siling proses perolehan negeri tidak melebihi 30 peratus dari harga pasaran.

“Kerajaan negeri memandang serius teguran Jabatan Audit Negara terhadap proses peroleh itu dan menetapkannya tidak melebihi 30 peratus dari harga pasaran.

“Perkara ini selari dengan langkah penjimatan yang sedang dilaksanakan,” katanya.

Kredit- melakakini.my

Trả lời

Email của bạn sẽ không được hiển thị công khai. Các trường bắt buộc được đánh dấu *